Vietnam hapus hukuman mati lapan kesalahan jenayah

Vietnam hapus hukuman mati lapan kesalahan jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Vietnam akan memansuhkan hukuman mati bagi lapan kesalahan jenayah utama termasuk penyelewengan dana dan cubaan menggulingkan kerajaan, bermula 1 Julai ini, lapor media rasmi negara.

Langkah bersejarah itu diluluskan sebulat suara oleh Perhimpunan Kebangsaan, iaitu badan perundangan tertinggi Vietnam yang meluluskan pindaan terhadap Kanun Jenayah negara tersebut pada sesi persidangan yang berlangsung awal pagi tadi.

Menurut laporan Agensi Berita Vietnam (VNA), antara kesalahan lain yang tidak lagi akan dikenakan hukuman mati ialah perosakan harta kerajaan, penghasilan ubat palsu, ancaman terhadap keamanan, melancarkan perang pencerobohan, kegiatan pengintipan dan penyeludupan dadah.

“Kesemua kesalahan ini kini akan dikenakan hukuman maksimum penjara seumur hidup,” menurut laporan itu lagi.

Bagi individu yang dijatuhkan hukuman mati sebelum 1 Julai bagi kesalahan-kesalahan tersebut namun belum dilaksanakan hukuman, mereka akan menerima pengampunan secara automatik dan ditukarkan kepada hukuman penjara seumur hidup.

Namun begitu, sepuluh kesalahan jenayah berat masih tertakluk kepada hukuman mati di Vietnam termasuk pembunuhan, penderhakaan, keganasan dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

Data rasmi mengenai hukuman mati merupakan rahsia negara di Vietnam dan tidak diketahui berapa ramai pesalah yang kini berada di barisan akhir hukuman tersebut.

Sejak tahun 2011, Vietnam telah menghentikan kaedah tembak sampai mati, dan kini hanya menggunakan suntikan maut sebagai satu-satunya kaedah pelaksanaan hukuman mati.

Langkah pemansuhan hukuman mati bagi beberapa kesalahan ini dilihat sebagai satu usaha reformasi perundangan yang signifikan di negara sosialis tersebut, selari dengan tekanan masyarakat antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia.

Sementara itu, seorang taikun hartanah Vietnam terlepas hukuman gantung melibatkan jenayah penyelewengan harta berikutan langkah tersebut.

Truong My Lan, sebelum ini dijatuhi hukuman mati atas kesalahan penipuan berjumlah AS$27 bilion (RM127.8 billion).

Peguamnya, Giang Hong Thanh, memaklumkan, hukuman mati terhadap anak guamnya akan ditukar kepada penjara seumur hidup.

Beliau berkata, anak guamnya meluahkan rasa gembira sebaik sahaja menerima perkhabaran berkenaan.

Lan, 68, didapati bersalah tahun lalu atas kesalahan menipu dana dari Saigon Commercial Bank (SCB) yang menurut pendakwa raya berada di bawah kawalannya sekaligus dijatuhi hukuman mati atas penipuan membabitkan kerugian sebanyak menyamai kira-kira enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Vietnam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN