KYIV: Ukraine mengesahkan pihaknya meletupkan jambatan yang menghubungkan Russia dengan Semenanjung Crimea yang diduduki menggunakan bahan letupan yang ditanam di bawah air.
Ia merupakan serangan ketiga terhadap laluan bekalan penting untuk tentera Moscow sejak perang besar-besaran bermula pada 2022.
Perkhidmatan keselamatan Ukraine dikenali sebagai SBU memaklumkan menerusi saluran Telegram, ejen-ejennya meletakkan bahan letupan pada tiang jambatan jalan raya dan kereta api yang dikenali sebagai Jambatan Crimea, atau Jambatan Kerch.
Pasukan itu meletupkan bahan api pertama pada Selasa pukul 4.44 pagi (waktu tempatan).
Operasi ini dilaporkan sudah dirancang dan dijalankan selama beberapa bulan.
Menurut SBU, sebanyak 1,100 kilogram (kg) bahan letupan digunakan dalam operasi tersebut, yang merosakkan tiang-tiang bawah air yang menyokong jambatan itu.
Laluan trafik di jambatan tersebut tergendala pada awal pagi Selasa, kemudian sekali lagi pada waktu petang, sebelum disambung semula menjelang pukul 6 petang (waktu tempatan).
Walaupun tahap kerosakan sebenar belum dapat dipastikan, serangan ini menunjukkan usaha berterusan Ukraine untuk mengejutkan Moscow serta memberi isyarat tindakan meneruskan perang akan membawa padah.-AGENSI











