UK lancar inisiatif latihan AI untuk pekerja, pelajar sekolah

UK lancar inisiatif latihan AI untuk pekerja, pelajar sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kerajaan United Kingdom (UK) akan bekerjasama dengan syarikat teknologi gergasi seperti Google, Microsoft dan Amazon untuk melatih 7.5 juta pekerja dalam kemahiran kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri, Keir Starmer berkata, kerajaan juga bersedia memperuntukkan AS$253 juta (RM1.07 bilion) untuk membantu membangunkan kemahiran teknologi bagi sejuta pelajar sekolah menengah.

Ia sebahagian daripada program ‘TechFirst’ yang bertujuan memperkenalkan pembelajaran AI ke dalam bilik darjah dan komuniti.

“Kita akan meletakkan kuasa AI di tangan generasi akan datang supaya mereka mampu membentuk masa depan, bukan sekadar dibentuk oleh teknologi itu. 

“Program latihan ini akan membuka peluang di setiap bilik darjah dan menjadi asas kepada era pertumbuhan baharu,” kata Starmer dalam kenyataan dikeluarkan pejabat Downing Street, semalam.

Sektor AI di UK dianggarkan bernilai 72 billion pound (RM413 billion) dan dijangka mencecah lebih 800 bilion pound (RM4.6 trillion) menjelang 2035. 

Industri itu berkembang 30 kali lebih pantas daripada kadar pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan dan kini menggaji lebih 64,000 orang, menurut angka rasmi kerajaan.

Selain TechFirst, Starmer turut mengumumkan kerjasama antara kerajaan dan industri bagi melatih 7.5 juta pekerja, dengan syarikat teknologi utama bersetuju untuk menyediakan bahan latihan secara percuma kepada perniagaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Latihan itu akan menumpukan kepada penggunaan chatbot dan model bahasa besar bagi meningkatkan produktiviti tempat kerja.

Presiden Google EMEA, Debbie Weinstein menyifatkan inisiatif tersebut sebagai langkah penting untuk membina kemahiran AI, memacu pertumbuhan berasaskan industri itu dan mengukuhkan kedudukan UK sebagai peneraju.

Kerajaan UK juga dijangka menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat semikonduktor NVIDIA bagi menyokong pembangunan rangkaian bakat AI di seluruh negara.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN