Tidak lagi 'sebulu' dengan Presiden AS, Elon Musk mahu tubuh parti baharu

Tidak lagi ‘sebulu’ dengan Presiden AS, Elon Musk mahu tubuh parti baharu

SEORANG penunjuk perasaan memakai baju dengan lambang mengecam Donald Trump dan Elon Musk semasa perhimpunan Hari Pekerja di Washington.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Bilionair, Elon Musk mencetus spekulasi global minggu ini apabila mencadangkan idea untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu, langkah yang bakal memburukkan lagi pergeserannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Dalam kritikannya yang berterusan terhadap Trump, Musk memuat naik satu tinjauan di platform X kepada 220 juta pengikutnya baru-baru ini.

Dalam tinjauan itu, beliau bertanya sama ada sudah sampai masanya untuk mewujudkan sebuah parti politik baharu di AS yang benar-benar mewakili 80 peratus rakyat di tengah-tengah spektrum politik negara itu, golongan yang tidak menyokong sayap kiri atau kanan.

Keputusan tinjauan itu menyaksikan 80 peratus responden menyokong idea tersebut dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu menulis pada malam Jumaat, mengatakan ia adalah ‘takdir’.

Musk turut bersetuju dengan cadangan seorang penyokongnya untuk menamakan parti baharu itu sebagai Parti Amerika.

Nama tersebut mirip kepada Jawatankuasa Tindakan Politik Amerika (America PAC) yang dilancarkannya tahun lalu dan sudah membelanjakan AS$239 juta (RM1.1 billion) bagi menyokong Trump serta calon Republikan lain dalam pilihan raya 2024.

Namun pakar berpendapat, usaha menubuhkan sebuah parti politik baharu di AS bukanlah perkara mudah. 

Berbanding Demokrat, Republikan dan beberapa parti ketiga yang sudah lama wujud dan mempunyai akses meluas kepada undian di pelbagai kawasan, mana-mana parti baharu perlu mengatasi pelbagai syarat yang rumit dan berbeza-mengikut negeri bagi membolehkan calon mereka disenaraikan secara rasmi dalam pilihan raya.

Buat masa ini, masih belum jelas sejauh mana komitmen Musk terhadap idea meninggalkan Parti Republikan.

HUBUNGAN BERAKHIR

Semalam, Trump mengumumkan hubungannya dengan Musk sudah berakhir sambil memberi amaran akan berlaku tindakan tegas sekiranya hartawan itu membiayai calon Demokrat yang bertanding menentang parti Republikan.

“Saya rasa begitu, ya,” kata Trump kepada NBC News apabila ditanya sama ada beliau merasakan hubungan rapat antara mereka sudah berakhir.

Apabila ditanya sama ada beliau mahu memperbaiki hubungan itu, Trump hanya menjawab, ‘tidak’.

Kenyataan itu merupakan yang terbaharu daripada Trump sejak pergolakan besar antara beliau dan Musk tercetus secara terbuka di media sosial.

Pergolakan tersebut bermula selepas jutawan teknologi itu mengkritik secara terbuka rang undang-undang cukai dan perbelanjaan kerajaan yang dianggap sebagai dasar utama Trump. 

Selama beberapa minggu, Musk mengkritik rang undang-undang utama Trump yang digelar ‘Big Beautiful Bill’ ketika ia sedang dibahaskan di Kongres.

Musk berkata, jika rang undang-undang itu diluluskan, ia akan menambah bertrilion dolar kepada defisit negara dan merosakkan segala usaha yang dilakukannya semasa memimpin agensi Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) yang bertujuan mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Tidak lama selepas meletakkan jawatan daripada DOGE setelah 129 hari berkhidmat, Musk menulis di laman sosial X mendakwa rang undang-undang itu merupakan kehinaan yang menjijikkan walaupun ketika itu beliau tidak menyebut nama Trump secara langsung.

Musk kemudian membalas dengan beberapa hantaran di X, mendakwa Trump tidak akan memenangi pilihan raya tanpa sokongannya dan menuduh Trump terlibat dalam fail-fail berkaitan seorang ahli kewangan yang meninggal dunia dalam penjara ketika menunggu perbicaraan kes pemerdagangan seks, Jeffrey Epstein.

Musk bagaimanapun memadam hantaran itu dan peguam Epstein turut tampil menafikan tuduhan tersebut.

Trump kemudian membalas di platform Truth Social, mendakwa Musk sudah ‘hilang akal’ dan dalam satu hantarannya, Presiden AS itu turut mengancam menamatkan kontrak kerajaan persekutuan dengan syarikat-syarikat milik Musk.

BURUKKAN MASA DEPAN NASA

Pertelingkahan antara Trump dan Musk berhubung rang undang-undang perbelanjaan utama turut memburukkan lagi ketidaktentuan terhadap masa depan bajet Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang kini berdepan pemotongan besar.

Trump turut mengancam untuk menarik balik kontrak persekutuan dengan syarikat milik Musk, SpaceX. 

NASA sangat bergantung kepada roket Falcon 9 milik Space X untuk menghantar kru dan bekalan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan sudah merancang menggunakan roket Starship yang masih dalam pembangunan bagi menghantar angkasawan ke bulan serta misi ke Marikh.

Menurut Saintis Angkasa Open University, Dr. Simeon Barber, ketidaktentuan ini memberi kesan yang sangat besar terhadap program penerbangan manusia ke angkasa.

“Pertukaran kenyataan yang mengejutkan, keputusan tergesa-gesa dan pusingan-U yang kita saksikan minggu ini meruntuhkan asas yang menjadi landasan kepada cita-cita kita. Sains dan penerokaan angkasa bergantung kepada perancangan jangka panjang dan kerjasama antara kerajaan, syarikat dan institusi akademik,” katanya.

Selain konflik antara Trump dan Musk, kebimbangan juga tertumpu kepada pemotongan besar yang diminta oleh Rumah Putih ke atas bajet NASA secara keseluruhan kecuali program menghantar angkasawan ke Marikh yang menerima tambahan dana sebanyak AS$100 juta (RM422 juta).

Menurut Ketua Dasar Angkasa di Persatuan Planetari yang berpusat di Pasadena, Casey Dreier, pemotongan ini berpotensi mencetus krisis terbesar dalam sejarah program angkasa AS.

Penganalisis Angkasa Universiti Cranfield, Dr. Adam Baker memberitahu BBC, Trump sedang mengubah haluan NASA kepada hanya dua matlamat utama iaitu mendaratkan angkasawan di bulan sebelum China dan memacak bendera AS di Marikh.

Namun, katanya, apa yang lebih membimbangkan ialah kemungkinan kehilangan 40 misi berkaitan penerokaan planet lain serta misi memantau perubahan iklim di bumi dari angkasa yang kebanyakannya melibatkan kerjasama antarabangsa.

“Sangat menyedihkan apabila usaha yang mengambil masa lama untuk dibina boleh dimusnahkan begitu saja tanpa sebarang pelan untuk membinanya semula.

“Pelbagai misi planet kini sedang beroperasi di mana kos pembangunan dan pelancarannya sudah pun dibayar. Namun kini, operasi susulan mereka berdepan pembatalan walaupun hanya memerlukan perbelanjaan tambahan yang kecil,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×