Thailand larang pelancong masuk Kemboja

Thailand larang pelancong masuk Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Thailand mengenakan sekatan perjalanan ke atas semua individu dan kenderaan yang ingin memasuki Kemboja, berikutan pertikaian sempadan yang semakin meruncing antara kedua-dua negara.

Larangan ini merangkumi semua lintasan sempadan di beberapa wilayah Thailand serta pelancong asing yang ingin terbang ke Siem Reap, destinasi pelancongan utama di Kemboja.

Menurut kenyataan tentera pada Isnin, sekatan ini selaras dengan situasi keselamatan semasa.

“Pengecualian terhadap larangan kemasukan hanya akan diberikan atas alasan kemanusiaan, seperti pelajar atau pesakit dan tertakluk kepada budi bicara pegawai di pintu masuk,” menurut pihak berkuasa Thailand.

Tentera Thailand juga menyatakan langkah ini bertujuan mengekang operasi penipuan dalam talian yang berpusat di Kemboja.

Pada Isnin, Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra berikrar akan mengetatkan tindakan terhadap sindiket penipuan, termasuk menggantung perkhidmatan internet yang digunakan oleh agensi keselamatan Kemboja.

Beliau turut mengumumkan larangan penerbangan pelancong asing dari Thailand ke bandar peranginan Siem Reap.

Langkah serupa pernah diambil terhadap Myanmar, yang juga menjadi pusat kepada rangkaian penipuan yang menjerat ribuan warga asing.

Hubungan dua hala antara kedua-dua negara kini berada pada tahap paling buruk dalam lebih sedekad selepas pertempuran bersenjata di sempadan pada Mei lalu yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Sejak itu, Kemboja bertindak balas dengan melarang import dari Thailand, termasuk buah-buahan, sayur-sayuran, bekalan elektrik, internet, serta drama dan filem dari negara jiran itu.

Krisis ini turut menggugat kestabilan politik kerajaan Paetongtarn selepas satu rakaman panggilan telefon antara beliau dan bekas pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen tersebar.

Dalam perbualan itu, Paetongtarn kedengaran memanggil Hun Sen sebagai ‘pakcik’ dan menggesa beliau mengabaikan seorang komander tentera Thailand yang dikatakan sekadar mahu kelihatan hebat.

Beliau mempertahankan pendekatan tersebut sebagai teknik rundingan, namun pengkritik mendakwa ia menjejaskan kredibiliti tentera Thailand.

Seorang rakan gabungan utama partinya, Pheu Thai, telah menarik diri daripada kerajaan susulan kontroversi itu.

Ketegangan antara Thailand dan Kemboja berakar sejak lebih 100 tahun lalu, apabila sempadan ditentukan selepas penjajahan Perancis di Kemboja.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN