Serangan Israel ke atas penjara Evin ragut 71 nyawa

Serangan Israel ke atas penjara Evin ragut 71 nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Serangan Israel ke atas penjara Evin di Teheran semasa perang 12 hari awal bulan ini telah meragut sekurang-kurangnya 71 nyawa, menurut kenyataan pihak kehakiman Iran pada Ahad.

Kenyataan itu dibuat selepas beberapa hari gencatan senjata menamatkan pertempuran antara dua musuh ketat itu.

Serangan yang berlaku pada Isnin lalu itu memusnahkan sebahagian bangunan pentadbiran di penjara Evin, sebuah kompleks besar yang dikawal ketat di utara Teheran, yang didakwa kumpulan hak asasi manusia turut menempatkan tahanan politik dan warganegara asing.

“Menurut angka rasmi, 71 orang terbunuh dalam serangan ke atas penjara Evin,” kata jurucakap kehakiman, Asghar Jahangir mengenai serangan yang merupakan sebahagian daripada kempen pengeboman yang dilancarkan Israel pada 13 Jun lalu.

Menurut Jahangir, mangsa yang terkorban termasuk kakitangan pentadbiran, pengawal penjara, banduan, ahli keluarga yang melawat, serta penduduk yang tinggal berhampiran.

Gambar yang dikongsi oleh pihak kehakiman menunjukkan dinding yang musnah, siling runtuh, serpihan berselerakan dan permukaan yang pecah di ruang menunggu fasiliti tersebut.

Pihak kehakiman menyatakan bahawa pusat perubatan dan bilik lawatan penjara Evin telah menjadi sasaran serangan.

Pada Selasa, sehari selepas serangan itu, pihak kehakiman memaklumkan, pihak berkuasa penjara Iran telah memindahkan para banduan keluar dari penjara Evin, namun tidak menyatakan jumlah mereka atau siapa yang terlibat.

Penjara Evin pernah menempatkan penerima Hadiah Keamanan Nobel, Narges Mohammadi, serta beberapa rakyat Perancis dan warga asing lain.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 41 orang dilapokan terbunuh dalam serangan Israel ke atas ibu pejabat Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) di utara wilayah Alborz, menurut pengumuman kumpulan itu pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi.

Pejabat perhubungan awam IRGC memaklumkan serangan pada Isnin lal itu mengakibatkan kematian orang awam dan anggota tentera kerahan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×