Satu daripada dua kotak hitam pesawat Air India ditemukan - Utusan Malaysia

Satu daripada dua kotak hitam pesawat Air India ditemukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Pihak berkuasa penerbangan India menemukan satu daripada dua kotak hitam pesawat Air India yang terhempas di Gujarat, barat India, mengorbankan 241 orang, lapor akhbar Hindustan Times seperti dipetik Xinhua.

Pesawat yang dalam penerbangan ke London itu terhempas pada petang Khamis, sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad.

“Daripada dua kotak hitam, satu yang terletak di bahagian belakang pesawat ditemukan dan kini dikawal dengan selamat.

Pihak Direktorat Jeneral Penerbangan Awam akan mengumpul peralatan itu untuk dianalisis.

Kotak hitam kedua, yang berada di bahagian hadapan pesawat, masih belum ditemukan,” kata satu sumber yang dipetik akhbar berkenaan.

Kotak hitam merupakan perakam data elektronik yang direka mampu menahan impak pelanggaran, letupan, kebakaran dan tekanan air.

Ia biasanya berwarna jingga terang atau kuning untuk memudahkan pencarian.

Pakar berkata punca sebenar tragedi yang menimpa Penerbangan AI171 mungkin dapat dikenal pasti menerusi perakam ini, yang mengandungi data penerbangan dan rakaman kokpit.

Bagaimanapun, proses analisis boleh mengambil masa beberapa hari.

Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner membawa 169 penumpang warga India, 53 warga Britain, tujuh warga Portugal, seorang warga Kanada, selain dua juruterbang dan 10 anak kapal, sebelum terhempas di kawasan Kolej Perubatan.

Biro Penyiasatan Kemalangan Pesawat di bawah kerajaan India telah memulakan siasatan rasmi terhadap tragedi itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Kelly Ortberg berkata beliau telah menghubungi Pengerusi Air India, N Chandrasekaran dan menyatakan kesediaan syarikatnya membantu siasatan pihak berkuasa India.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN