LONDON: Sekumpulan doktor di United Kingdom (UK) menguji pendekatan inovatif menggunakan ‘pil najis’ bagi menghapuskan superbug atau bakteria berbahaya yang kebal terhadap antibiotik, langkah yang mungkin menjadi harapan baharu dalam merawat jangkitan serius yang sukar ditangani.
Pil unik ini mengandungi sampel najis daripada penderma sihat yang kaya dengan bakteria baik dan data awal menunjukkan ia mampu membersihkan usus besar dan jangkitan dalam sistem penghadaman manusia.
“Usus manusia merupakan takungan terbesar bagi bakteria kebal antibiotik,” kata pakar dari Hospital Guys dan St Thomas’, Dr. Blair Merrick yang sedang menguji pil tersebut ke atas pesakit.
Bakteria yang kebal antibiotik bukan sahaja kekal dalam usus malah boleh merebak ke bahagian tubuh lain dan menyebabkan penyakit seperti jangkitan saluran kencing atau darah yang serius.
Idea menggunakan najis untuk merawat penyakit kedengaran pelik, namun teknik dikenali sebagai ‘trans-poo-sion’ diluluskan untuk merawat cirit-birit teruk akibat bakteria Clostridium difficile, malah rawatan itu turut menunjukkan tanda-tanda boleh menghapuskan superbug lain dalam proses tersebut.
Menurut Merrick, kajian terbaharunya memfokuskan kepada pesakit yang pernah dijangkiti bakteria kebal ubat dalam tempoh enam bulan lepas.
“Pesakit diberikan pil yang dibuat daripada najis penderma yang disimpan di bank najis. Setiap sampel najis diuji bagi memastikan ia bebas daripada bakteria berbahaya. Makanan yang tidak dihadam disingkirkan dan najis tersebut akan dibekukan serta dikeringkan menjadi serbuk.
“Serbuk itu kemudiannya dimasukkan ke dalam kapsul khas yang direka untuk melepasi perut tanpa rosak dan terus ke usus di mana ia melarut dan melepaskan muatan najis untuk memulakan proses pemulihan mikrobiom,” jelas Merrick.
Usaha ini menjadi sebahagian daripada penyelidikan global bagi menangani ancaman jangkitan kebal antibiotik yang dianggarkan membunuh lebih sejuta orang setiap tahun. -AGENSI










