BEIJING: Seorang wanita warga emas dari China mencetuskan inspirasi kepada ribuan warganet selepas memenangi tempat ketiga dalam sebuah pertandingan kecergasan, hasil empat tahun latihan intensif yang ketat.
Pada 1 Jun lalu, Sun Minghui yang berasal dari Ma’anshan di wilayah Anhui meraih pingat gangsa dalam kategori campuran jantina bagi Pertandingan Kualiti Pendatang Baharu Kecergasan Kebangsaan 2025 di Wuhan.
Minghui yang berusia 71 tahun merupakan peserta paling tua dalam acara tersebut.
Sebelum bersara, dia bekerja di kafeteria sebuah kilang besi.
Walaupun kerjanya memenatkan, Minghui masih gigih melakukan senaman dan aktiviti fizikal untuk mengekalkan tahap kecergasannya.
Selepas bersara, dia mencuba pelbagai jenis sukan termasuk berbasikal, lompat tali, joging dan mendaki.
Namun, warga emas itu hanya memulakan latihan kecergasan secara formal pada usia 67 tahun dan sejak itu membina otot perut serta bentuk badan yang mengagumkan.
“Selepas hanya sebulan lebih latihan, saya mula melihat perubahan. Bisep saya mula kelihatan dan bentuk otot belakang saya mula menonjol.
“Saya tidak hilang otot kerana usia sebalikya saya menambahnya. Itu benar-benar meningkatkan keyakinan saya.
“Ini membuktikan tidak kira berapa umur kita, kita tetap boleh melakukan latihan kekuatan atau senaman lain. Bergerak sentiasa lebih baik daripada berdiam diri,” katanya kepada Hubei Media Group.
Pada 2014, ketika berusia 60 tahun, Minghui mencipta Rekod Dunia Guinness bersama rakan dengan berbasikal dari titik paling timur China ke bandar paling selatan di Sanya, menempuh 6,316 kilometer dalam masa 45 hari.
Kini, wanita besi itu sering berkongsi perjalanan kecergasannya di media sosial dan memberi semangat kepada ramai untuk menjalani gaya hidup aktif, tanpa mengira usia.










