Menteri Israel desak media asing henti buat liputan serangan Iran

Menteri Israel desak media asing henti buat liputan serangan Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Beberapa menteri kanan Israel dari parti sayap kanan dilaporkan meningkatkan tekanan terhadap media antarabangsa yang membuat liputan di lokasi serangan peluru berpandu Iran malah, mengancam akan meminta agensi keselamatan menyiasat organisasi media terbabit.

Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir, dalam surat kepada agensi keselamatan dalaman Shin Bet mendakwa sesetengah media asing melanggar arahan penapisan dan melakukan kesalahan keselamatan negara yang serius dengan menyiarkan siaran langsung dari lokasi serangan peluru berpandu.

Ben-Gvir turut meminta Shin Bet mengambil tindakan bagi menghalang tingkah laku yang didakwa tidak bertanggungjawab dan berbahaya melibatkan penyiaran secara langsung lokasi serangan peluru berpandu.

Ketua pembangkang Israel, Yair Lapid, mengecam tindakan Ben-Gvir terhadap media asing.

“Keputusan untuk mengenakan sekatan menyeluruh ke atas liputan media adalah sesuatu yang mustahil untuk dikuatkuasakan ketika hampir semua orang memiliki telefon pintar berkamera.

“Ia juga hanya akan melemahkan sokongan global terhadap apa yang sedang dilancarkan oleh Israel pada minggu ini,” katanya.

Tentera Pertahanan Israel (IDF) membenarkan penggambaran di beberapa lokasi serangan tertentu, seperti serangan di Ramat Gan pada Khamis dan serangan yang mengenai sebuah hospital di Beer Sheva.

Tentera turut bekerjasama dengan media antarabangsa di lokasi kejadian, yang lazimnya turut disertai oleh media tempatan.

Namun, wartawan yang bertugas di Israel tertakluk kepada undang-undang penapisan negara dan mungkin dikehendaki menyerahkan rakaman mereka untuk semakan pihak tentera.

Dalam kenyataan bersama Ben-Gvir, Menteri Komunikasi daripada blok sayap kanan, Shlomo Karni turut mendakwa media asing yang beroperasi di Israel melanggar arahan penapisan.

“Mereka mendedahkan lokasi tepat serangan peluru berpandu, tahap kerosakan dan dalam beberapa kes, bahan visual sensitif dari tempat kejadian,” kata kenyataan bersama itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×