Lebih 700 penduduk dipindahkan selepas Gunung Berapi Fuego muntahkan debu panas - Utusan Malaysia

Lebih 700 penduduk dipindahkan selepas Gunung Berapi Fuego muntahkan debu panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUATEMALA: Gunung berapi Fuego di Guatemala meletus dengan memuntahkan debu panas ke udara pada Jumaat menyebabkan lebih 700 penduduk terpaksa dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga, menurut pihak berkuasa tempatan.

Menurut agensi seismologi negara, INSIVUMEH, aliran lava mula terbentuk di sekitar kawah gunung berapi tersebut yang terletak kira-kira 18 kilometer (km) dari bandar pelancongan popular, Antigua Guatemala. Abu dilaporkan mencapai ketinggian sehingga 5km ke udara.

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran awal minggu ini mengenai peningkatan aktiviti gunung berapi yang aktif itu.

“Kami sudah memindahkan lebih 700 orang yang kini ditempatkan di pusat perlindungan sementara. Pemindahan dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga,” kata agensi pengurusan bencana negara, CONRED.

Penduduk yang terjejas dari kawasan berdekatan termasuk Escuintla, Sacatepequez dan Chimaltenango, tambah agensi tersebut.

Dalam laporan lewat malam Khamis, INSIVUMEH memaklumkan aliran lava sejauh 1.2 km dikesan mengalir dari kawah.

“Lava ini terus terkumpul secara tidak stabil di sekitar kawah dan kawasan tinggi di lereng jurang, yang boleh runtuh dan mencetuskan aliran piroklastik berbahaya,” menurut laporan itu.

Gunung Fuego terkenal dengan aktiviti letusan yang kerap. Pada Jun 2018, letusan paling dahsyat dalam tempoh hampir 40 tahun telah meragut lebih 200 nyawa.

Negara Amerika Tengah ini mempunyai 37 gunung berapi walaupun sebahagian besar daripadanya diklasifikasikan sebagai tidak aktif atau sudah pupus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×