Korea Utara dakwa pelancaran kapal perang kali kedua berjaya

Korea Utara dakwa pelancaran kapal perang kali kedua berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PYONGYANG: Korea Utara mendakwa berjaya melancarkan semula kapal pemusnah tentera laut seberat 5,000 tan yang baru dibina, kurang sebulan selepas ia terbalik dalam cubaan pelancaran pertama, lapor media rasmi negara itu.

Pemimpin negara itu, Kim Jong Un yang berang dengan kegagalan pelancaran pada bulan Mei  bertindak mengarahkan kapal tersebut dibaiki segera dan menahan sekurang-kurangnya empat pegawai yang terlibat dalam misi tersebut.

Menurut media rasmi, kapal tersebut kini sudah dibaik pulih sepenuhnya namun, memandangkan ia dilancarkan semula dalam masa singkat, para penganalisis mempersoalkan sama ada pembaikan itu benar-benar lengkap.

Jong Un dan anak perempuannya, Kim Ju Ae dilaporkan hadir menyaksikan pelancaran semula pada Selasa di Pelabuhan Rajin di utara negara itu, menurut KCNA yang turut menyiarkan gambar mereka di lokasi.

Kapal perang ini adalah satu daripada dua kapal pemusnah 5,000 tan yang dibina Korea Utara sejak setahun lalu dan telah dilancarkan sejak April.

Kedua-duanya kini merupakan kapal terbesar dalam armada laut Pyongyang dan secara teorinya berkemampuan melancarkan senjata nuklear.

Jong Un menjadikan pembangunan angkatan laut bersenjata nuklear sebagai keutamaan dan menyatakan rancangan untuk membina dua lagi kapal seumpamanya dalam tempoh setahun akan datang.

Gambar satelit sejak beberapa minggu lalu menunjukkan kapal yang terbalik itu berada di pelabuhan sebelum dipindahkan ke lokasi pembaikan, kemudian diapungkan semula dan ditambat di jeti.

Menurut KCNA, Jong Un turut berucap pada acara hari Jumaat, menyatakan kegagalan pelancaran pertama tidak menjejaskan program pemodenan ketenteraan negara itu.

“Tidak lama lagi, musuh akan merasai betapa provokatif dan tidak menyenangkan apabila melihat kapal-kapal pihak lawan berkeliaran di pinggir perairan berdaulat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN