Iran larang kemasukan Ketua IAEA, tolak pemasangan kamera pemantauan

Iran larang kemasukan Ketua IAEA, tolak pemasangan kamera pemantauan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran mengumumkan Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Mariano Grossi dilarang memasuki negara itu dan pihaknya tidak akan membenarkan pemasangan kamera pemantauan di tapak-tapak nuklear Iran.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita kebangsaan IRNA pada Sabtu.

“Kami tidak akan membenarkan IAEA memasang kamera di tapak nuklear kami dan ketua agensi itu akan dihalang daripada memasuki negara ini,” kata Araghchi.

Tindakan tegas ini susulan peningkatan ketegangan antara Teheran dan agensi nuklear PBB berhubung isu pemantauan dan ketelusan, terutama selepas konfrontasi ketenteraan baru-baru ini dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS).

Langkah ini turut memperkukuh keputusan Parlimen Iran yang meluluskan undang-undang pada Rabu lalu untuk menggantung semua bentuk kerjasama dengan IAEA.

Krisis memuncak apabila konflik selama 12 hari tercetus bermula 13 Jun lalu selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas tapak ketenteraan, nuklear dan kawasan penduduk awam Iran yang mengorbankan sekurang-kurangnya 627 orang dan mencederakan lebih 5,300, menurut Kementerian Kesihatan Iran.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel yang mengakibatkan 29 kematian dan lebih 3,400 cedera, menurut data yang dikeluarkan oleh Universiti Ibrani Jerusalem.

Konflik ini berakhir selepas satu gencatan senjata yang ditaja AS mula berkuat kuasa pada 24 Jun. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN