DHAKA: Hujan monsun lebat yang melanda kawasan tenggara Bangladesh mengakibatkan lebih 1,400 pondok pelarian Rohingya rosak teruk di Cox’s Bazar, menurut kenyataan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), semalam.
Dalam tempoh dua hari sahaja, sebanyak 53 kejadian tanah runtuh direkodkan di 33 kem pelarian di daerah berkenaan di mana seorang maut selepas dinding runtuh menimpa mangsa, manakala 11 lagi dilaporkan cedera akibat panahan petir.
“Hujan monsun ini sekali lagi menyerlahkan keperluan mendesak pelarian Rohingya,” menurut kenyataan UNHCR.
Kini, lebih 1.3 juta pelarian Rohingya berlindung di Cox’s Bazar, dengan majoritinya tiba selepas operasi ketenteraan Myanmar pada 2017 yang disifatkan sebagai pembersihan etnik terhadap etnik minoriti Islam itu.
“Gabungan lereng curam, banjir dan pembinaan padat tempat perlindungan sementara menambah situasi berbahaya dalam kawasan yang sesak seperti ini, ditambah pula dengan angin kencang yang berisiko melemahkan lagi struktur pondok-pondok daripada buluh dan tarpaulin,” ujar Wakil Sementara UNHCR di Bangladesh, Juliet Murekeyisoni.
UNHCR turut memaklumkan kemasukan berterusan pelarian baharu dari Rakhine akibat keganasan dan penindasan berterusan di Myanmar semakin mengecilkan ruang sedia ada yang sudah pun padat.
Penyelaras Residen PBB, Gwyn Lewis berkata, situasi semakin membimbangkan apabila kekurangan dana kritikal menghalang pelaksanaan langkah persediaan bencana secara menyeluruh, sekali gus menjejaskan keupayaan agensi bantuan kemanusiaan dalam memenuhi keperluan mendesak.
“Persiapan menghadapi bencana seperti ini bukan sekadar penting, ia boleh menyelamatkan nyawa,” tegasnya ketika melawat kem-kem pelarian di Cox’s Bazar.
Katanya, persiapan menghadapi monsun kebiasaannya dimulakan sebelum bulan Mei namun tahun ini, kekangan kewangan menyebabkan persiapan tidak dapat dijalankan seperti dijadualkan.
Tahun ini, Pelan Tindak Balas Bersama anjuran PBB bagi membantu pelarian Rohingya dan komuniti setempat di Bangladesh memerlukan dana sebanyak AS$934.5 juta (RM3.9 bilion) namun sehingga kini, hanya 20 peratus daripada jumlah itu berjaya dikumpul.
Pemotongan bantuan global turut memaksa agensi kanak-kanak PBB memecat lebih 1,179 orang guru tadika dan sekolah rendah di kem pelarian Rohingya di Bangladesh. – AGENSI










