Hubungan saya dengan Elon Musk sudah berakhir - Trump

Hubungan saya dengan Elon Musk sudah berakhir – Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan hubungannya dengan hartawan yang juga penyumbang dana kempennya, Elon Musk kini sudah berakhir.

“Saya rasa begitu, ya,” kata Trump kepada NBC News apabila ditanya sama ada beliau merasakan hubungan rapat antara mereka telah berakhir.

Apabila ditanya sama ada beliau mahu memperbaiki hubungan itu, Trump hanya menjawab, ‘tidak’.

Kenyataan itu merupakan yang terbaharu daripada Trump sejak pergolakan besar antara beliau dan Musk tercetus secara terbuka di media sosial.

Pergolakan tersebut bermula selepas jutawan teknologi itu mengkritik secara terbuka rang undang-undang cukai dan perbelanjaan kerajaan yang dianggap sebagai dasar utama Trump.

Sebilangan besar ahli Republikan menyokong rang undang-undang tersebut dan Naib Presiden, JD Vance menyatakan Musk ‘terlalu melampau’ dan mungkin tidak akan diterima kembali dalam kalangan mereka.

Dalam temubual podcast Theo Von, Vance berkata, tindakan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX itu mengkritik Presiden adalah satu kesilapan besar.

Selama beberapa minggu, Musk mengkritik rang undang-undang utama Trump yang digelar ‘Big Beautiful Bill’ ketika ia sedang dibahaskan di Kongres.

Musk berkata, jika rang undang-undang itu diluluskan, ia akan menambah bertrilion dolar kepada defisit negara dan merosakkan segala usaha yang dilakukannya semasa memimpin agensi Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) yang bertujuan mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Tidak lama selepas meletakkan jawatan daripada DOGE setelah 129 hari berkhidmat, Musk menulis di laman sosial X mendakwa rang undang-undang itu merupakan kehinaan yang menjijikkan walaupun ketika itu beliau tidak menyebut nama Trump secara langsung.

Pada Khamis, Trump memberitahu wartawan, beliau kecewa dengan tingkah laku Musk.

Musk kemudian membalas dengan beberapa hantaran di X, mendakwa Trump tidak akan memenangi pilihan raya tanpa sokongannya dan menuduh Trump terlibat dalam fail-fail berkaitan seorang ahli kewangan yang meninggal dunia dalam penjara ketika menunggu perbicaraan kes pemerdagangan seks, Jeffrey Epstein.

Musk bagaimanapun memadam hantaran itu dan peguam Epstein turut tampil menafikan tuduhan tersebut.

Trump kemudian membalas di platform Truth Social, mendakwa Musk sudah ‘gila’ dan dalam satu hantarannya, Presiden AS itu turut mengancam untuk menamatkan kontrak kerajaan persekutuan dengan syarikat-syarikat milik hartawan itu.

Beliau turut memberi amaran akan berlaku tindakan tegas sekiranya Musk membiayai calon Demokrat yang bertanding menentang parti Republikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN