Tentera tidak cukup, idea Israel tawan Gaza hanya retorik?

Tentera tidak cukup, idea Israel tawan Gaza hanya retorik?

SEORANG askar Israel berjalan berhampiran kereta kebal yang ditempatkan di kedudukan berhampiran sempadan dengan Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Cita-cita Israel untuk menawan keseluruhan Semenanjung Gaza mungkin tidak kesampaian kerana negara haram itu sebenarnya tidak mempunyai anggota tentera mencukupi.

Amaran itu dikeluarkan oleh Ketua Staf Turus Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Eyal Zamir, semasa sesi rundingan keselamatan baru-baru ini, lapor Channel 13.

“Dalam pencerobohan berskala penuh, kita mungkin tidak dapat menyelamatkan tebusan dan kita boleh kehilangan mereka pada bila-bila masa.

“Kerajaan menetapkan dua objektif perang, menewaskan Hamas dan menyelamatkan tebusan. Namun, kedua-dua matlamat ini saling bercanggah kerana kita tiada anggota yang cukup,” katanya seperti dilaporkan media Israel itu, kelmarin.

Amaran tersebut dikeluarkan serentak dengan pengumuman tentera Israel pada Ahad, ketika puluhan ribu askar simpanan dikerahkan sebagai persediaan untuk meningkatkan serangan terhadap Gaza.

Zamir mengesahkan dalam satu kenyataan mengenai objektif tentera adalah untuk memusnahkan semua infrastruktur Hamas.

“Minggu ini, kami akan memanggil puluhan ribu tentera simpanan untuk memperluaskan operasi di Gaza.

“Kita akan meningkatkan tekanan untuk membawa pulang tebusan dan menewaskan Hamas, termasuk memusnahkan semua infrastruktur mereka, sama ada di atas mahupun bawah tanah,” katanya.

RAMPAS SELURUH GAZA

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan serangan baharu di Gaza akan menjadi operasi ketenteraan intensif bagi menewaskan Hamas, meskipun tidak memperincikan rancangan itu.

Dalam mesej video berbahasa Ibrani di platform X, merujuk kepada rancangan perluasan operasi Gaza yang diluluskan Kabinet Keselamatan, Netanyahu mendakwa akan memindahkan penduduk Palestin demi keselamatan.

Netanyahu mendakwa, tentera Israel bukan sekadar memasuki Gaza, melancarkan serangan dan berundur, bahkan mempunyai rancangan yang lebih meluas.

Kenyataan itu dibuat ketika pemimpin politik dan tentera Israel meluluskan rancangan memperluas serangan di Gaza serta mengambil alih penghantaran bantuan ke wilayah itu.

Kabinet Netanyahu sebulat suara meluluskan rancangan untuk memanggil pulang askar simpanan dan menyerahkan tanggungjawab kepada tentera Israel bagi mengurus bekalan makanan serta keperluan penting kepada 2.3 juta penduduk Palestin.

Agensi berita melaporkan, pegawai Israel mendedahkan rancangan terbaharu itu termasuk penaklukan dan penjajahan sepenuhnya pasukan tentera di seluruh Gaza.

“Rancangan itu merangkumi penaklukan Gaza dan pengekalan kawasan di wilayah, serta pemindahan penduduk ke selatan demi keselamatan,” kata sumber kepada AFP.

Sumber mendakwa, Netanyahu terus mempromosikan rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk mengusir penduduk Palestin dari wilayah tersebut.

KONFLIK DALAMAN

Perselisihan pendapat dilaporkan tercetus dalam mesyuarat Kabinet Israel atau Knesset antara tokoh politik dan tentera.

Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir mencadangkan supaya Israel menyekat semua bekalan makanan, air, ubat-ubatan, bahan api dan bantuan lain ke Gaza seperti yang dilakukan sejak dua bulan lalu, bagi membiarkan pendudukPalestin mati kebuluran.

Beliau turut mencadangkan gudang makanan dan penjana elektrik dibom supaya tiada lagi bekalan mahupun tenaga di wilayah itu.

Namun, Zamir memberi amaran tindakan itu akan ‘membahayakan’ Israel kerana mendedahkan negara haram berkenaan kepada lebih banyak tuduhan pencabulan undang-undang antarabangsa.

Pertikaian politik juga semakin meluas apabila tokoh pembangkang, Yair Golan, menyifatkan keputusan Netanyahu ketika ini hanya untuk menyelamatkan ‘hayat’ kerajaannya daripada tumbang.

Bahkan, pemimpin pembangkang, Yair Lapid juga mengkritik strategi perang Netanyahu kerana sehingga kini tiada menetapkan matlamat operasi yang jelas.

Israel, yang menyekat kemasukan semua bekalan ke Gaza sejak 2 Mac lalu, dilaporkan merancang untuk menggunakan khidmat kontraktor keselamatan AS, bagi mengawal aliran banguan ke wilayah itu.

Namun, rancangan tersebut dijangka tidak dilaksanakan serta-merta kerana pegawai Israel percaya terdapat bekalan makanan mencukupi di Gaza buat masa ini, walaupun rakyat Palestin hampir mati akibat kebuluran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN