SOLO: Sebuah restoran ayam goreng terkenal di Solo, Indonesia, Ayam Goreng Widuran, mencetuskan kontroversi selepas didapati menggunakan minyak babi bagi menggoreng ayamnya, selepas 50 tahun beroperasi.
Pendedahan itu mencetuskan rasa kecewa dalam kalangan pelanggan beragama Islam, di negara paling ramai penduduk Islam itu.
Restoran yang beroperasi sejak 1973 itu cukup terkenal sebagai destinasi makanan ayam kampung goreng berperisa tradisional Jawa.
Seorang daripada kakitangan restoran itu, Ranto, mengakui status ‘tidak halal’ pada menu mereka hanya diumumkan selepas aduan pelanggan tular dalam media sosial beberapa hari lalu.
“Memang ada makluman menu itu tidak halal, terutama pada bahagian ‘kremes’ (keripik ayam). Tapi sejak ‘viral’ baru-baru ini, barulah pihak restoran beri penjelasan secara terbuka,” katanya.
Ranto turut memaklumkan kebanyakan pelanggan mereka sejak dulu lagi terdiri daripada golongan bukan Islam.
Susulan kritikan yang diterima, pihak pengurusan Ayam Goreng Widuran menambah label ‘Tidak Halal’ pada papan tanda restoran, laman Instagram rasmi serta aplikasi Google Maps bagi memaklumkan secara jelas kepada bakal pelanggan.
“Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. Kini semua saluran komunikasi kami sudah ditandakan sebagai ‘Tidak Halal’. Kami harap diberi peluang untuk memperbaiki kesilapan ini,” demikian kenyataan rasmi pihak pengurusan menerusi akaun Instagram @ayamgorengwiduransolo.
Ketua Kementerian Agama Kota Surakarta, Ahmad Ulin Nur Hafsun berkata setiap pengusaha makanan wajib menyatakan secara jelas sekiranya menu mereka tidak halal atau mengandungi bahan haram seperti babi.
“Maklumat ini perlu dimaklumkan secara terbuka kepada pengguna supaya tidak berlaku salah faham. Kita juga akan rujuk perkara ini kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Perdagangan Kota Solo, Agus Santoso memaklumkan siasatan terhadap restoran tersebut akan dilakukan pada 27 Mei.
“Kami sudah berbincang dengan beberapa jabatan. Pemeriksaan ini akan menumpukan kepada sumber bahan mentah kerana bahan masak siap sedia adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan dan Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM),” katanya.










