Putin kuatkuasa perintah gencatan senjata tiga hari Russia-Ukraine

Putin kuatkuasa perintah gencatan senjata tiga hari Russia-Ukraine

PRESIDEN Russia, Vladimir Putin bertemu dengan pemimpin Chechnya, Ramzan Kadyrov di Kremlin di Moscow kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin menguatkuasakan gencatan senjata selama tiga hari dengan Ukraine sempena sambutan Hari Kemenangan Perang Dunia Kedua di Moscow, menurut laporan media rasmi Russia.

Namun, Ukraine menolak perintah tersebut dan menyifatkannya sebagai satu bentuk sandiwara politik, malah menuntut gencatan senjata selama 30 hari.

Gencatan senjata bermula tepat tengah malam Khamis dan dijadual berakhir pada penghujung hari Sabtu, menurut kenyataan Kremlin.

“Gencatan senjata sempena ulang tahun ke-80 Hari Kemenangan Perang Dunia Kedua telah bermula,” lapor agensi berita rasmi Russia, RIA.

Beberapa jam sebelum gencatan senjata dilaksanakan, kedua-dua pihak Moscow dan Kyiv saling melancarkan serangan udara, menyebabkan beberapa lapangan terbang di Russia ditutup dan sekurang-kurangnya dua orang terbunuh di Ukraine.

Kremlin menegaskan pasukan tentera Russia akan mematuhi perintah gencatan senjata tersebut, namun akan bertindak serta-merta sekiranya Ukraine melancarkan sebarang serangan.

Putin mengumumkan gencatan senjata itu bulan lalu sebagai satu langkah kemanusiaan berikutan tekanan dari Amerika Syarikat (AS) yang menggesa serangan Russia ke atas Ukraine yang kini memasuki tahun ketiga ditamatkan.

Presiden AS, Donald Trump dilaporkan berusaha untuk rundingan gencatan senjata jangka panjang antara Moscow dan Kyiv sejak beliau mengangkat sumpah jawatan, namun masih gagal memperoleh sebarang komitmen daripada Kremlin.

Putin sebelum ini menolak cadangan bersama AS-Ukraine untuk gencatan senjata tanpa syarat pada Mac dan setakat ini hanya menunjukkan komitmen minimum terhadap usaha damai Trump.

Ukraine pula menyatakan mereka tidak percaya Russia akan mematuhi gencatan senjata kali ini sambil menuduh Moscow melanggar ratusan perjanjian semasa gencatan senjata 30 jam yang diumumkan Putin sempena Easter sebelum ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN