Isu sempadan maritim Malaysia-Indonesia tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Isu sempadan maritim Malaysia-Indonesia tumpuan Dewan Rakyat hari ini

perlembagaan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia di Laut Sulawesi khususnya melibatkan kedaulatan Blok ND6 (Blok Y) dan ND7 (Blok Z) selepas keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 mengenai kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan antara tumpuan dalam Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN–Beluran) dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri meminta Perdana Menteri menjelaskan bagaimana keputusan ICJ itu memberi kesan terhadap penentuan sempadan maritim Malaysia–Indonesia di kawasan tersebut.

Pada sesi sama, Mohd. Sany Hamzan (PH–Hulu Langat) turut membangkitkan persoalan mengenai pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang dalam menghadapi ketegangan geopolitik yang semakin meruncing di Asia Barat, khususnya dalam persekitaran global yang tidak menentu.

Sementara itu, dalam sesi soal jawab lisan, Mohd. Syahir Che Sulaiman (PN–Bachok) meminta penjelasan daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengenai langkah kerajaan menangani isu tarif Amerika Syarikat dengan mengambil kira keterlibatan kerajaan negeri.

Datuk Seri Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali (BN–Pekan) pula mengemukakan soalan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berhubung hasil penjimatan melalui pengurangan subsidi serta kesan langsung terhadap harga pasaran telur di negara ini.

Selesai sesi soal jawab, Dewan Rakyat diteruskan dengan pembentangan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2025.

Ia disusuli pembentangan bacaan kali kedua bagi Rang Undang-Undang Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 serta Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN