PETALING JAYA: Kesedaran umat Islam di negara ini terhadap pengurusan harta pusaka masih pada tahap membimbangkan, sekali gus menjadi punca utama lebih RM90 bilion harta kekal tidak dituntut sejak sekian lama.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, kegagalan waris bertindak segera selepas kematian serta ketiadaan perancangan seperti hibah dan wasiat menyebabkan banyak harta tidak dapat diagihkan secara teratur.
“Kesedaran masyarakat Islam amat rendah. Ramai tidak bersegera menguruskan pusaka selepas kematian.
“Bila tiada hibah atau wasiat, waris pula gagal sepakat. Akhirnya harta terbeku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, dilaporkan sebanyak RM90 bilion harta pusaka milik umat Islam dibekukan pada 2023 dengan sebahagian besar daripadanya melibatkan hartanah dan wang tunai yang tidak dituntut akibat kegagalan tindakan sewajarnya waris selepas kematian berlaku.
Hisham berkata, proses pengurusan pusaka menjadi semakin rumit apabila berlaku pertelingkahan antara waris dan tiada persefahaman menyebabkan pentadbiran harta tidak dapat diteruskan.
Katanya, faktor utama menyumbang kepada keadaan itu adalah kurang kefahaman mengenai perancangan harta Islam, keengganan mendapatkan khidmat peguam bertauliah serta sikap sambil lewa dalam menguruskan hal ehwal berkaitan kematian.
“Ramai tidak faham. Tidak tahu proses. Bila bergaduh sesama waris, proses makin lambat dan susah. Akhirnya harta si mati terus terbeku dalam sistem,” katanya.
Hisham berkata, selagi isu ini tidak ditangani secara serius, jumlah harta umat Islam yang dibekukan terus meningkat saban tahun dan memberi kesan jangka panjang kepada generasi pewaris.
“Harta itu sepatutnya boleh dimanfaatkan oleh waris, tetapi sebaliknya terus terperangkap dalam sistem hanya kerana tiada perancangan sewaktu hidup.
“Selagi masyarakat tidak ambil berat soal pengurusan pusaka dan terus mengabaikan keperluan menyediakan dokumen sah seperti hibah dan wasiat, harta umat Islam akan kekal terperangkap dalam sistem undang-undang tanpa dapat dimanfaatkan oleh waris yang berhak,” katanya.-UTUSAN











