Penjara 143 tahun jadi perkampungan seni

Penjara 143 tahun jadi perkampungan seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Semak-samun yang memenuhi kawasan ini ketika diterokai semula pada 2024 seakan menutup terus wajah asalnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, di sebalik belukar yang menebal itu tersimpan sejarah Penjara Ayer Molek di Johor Bahru yang bermula sejak 1883.

Kini, tapak bersejarah berusia 143 tahun itu diberi nafas baharu dan dijenamakan sebagai KotaJail.

Pengarah Operasinya, Zul Abbas berkata, inisiatif tersebut bertujuan menyelamatkan penjara ketiga tertua di Malaysia itu daripada terus terbengkalai dan dibiarkan usang.

Katanya, sejak pintunya dibuka semula pada 14 Mac 2025, lebih dua juta pelawat berkunjung ke situ.

Sambutan luar biasa itu didorong oleh keunikannya yang menggabungkan nilai sejarah, warisan, seni, budaya, kreativiti dan komuniti.

“Setakat ini, kerja-kerja pembangunan semula sudah mencapai 95 peratus, dengan hanya kira-kira satu hektar lagi yang belum dinaik taraf.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan lokasi bersejarah ini sebagai sebuah perkampungan seni pertama di Malaysia yang bukan sahaja menempatkan muzium atau galeri penjara, malah menjadi pusat kreativiti dan gaya hidup setempat.

“Gabungan elemen ini sekali gus dapat menarik golongan muda untuk menghargai dan memelihara seni, budaya serta warisan negara untuk tatapan generasi akan datang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Zul berkata, pada awal operasinya, penjara seluas 1.8 hektar itu hanya menempatkan seramai 200 banduan.

Antaranya termasuk mereka yang menentang kerajaan British.

Bermula daripada dua blok penempatan, ia kemudian berkembang kepada 10 blok diikuti lima bengkel vokasional, bilik perjumpaan, pejabat kaunseling, pejabat kebajikan, surau dan kemudahan lain.

Selepas lebih seabad beroperasi, penjara itu akhirnya dikosongkan pada 30 Ogos 2005.

Bagaimanapun, ia kekal berfungsi sebagai lokap polis sehingga 2018 sebelum ditutup sepenuhnya.

Kekalkan keaslian

Bagi mengekalkan keaslian penjara itu, pihaknya tidak mengubah keadaan bangunan berkenaan, termasuk di blok penempatan.

Pendekatan raw and beautifully broken yang diterapkan membolehkan elemen lama seperti cat, dinding mengelupas, jeruji besi berkarat dan coretan emosi banduan silam terus dipertahankan.

Zul berkata, pihaknya hanya melakukan kerja pembaikan pada bahagian yang perlu, terutama melibatkan keselamatan pengunjung.

“Dalam sel pun kita tidak cat semula, segala tulisan dan lukisan yang dibuat banduan masih dikekalkan sampai sekarang.

“Walaupun ada tulisan negatif, kita tetap biarkan kerana ia sebahagian daripada luahan penyesalan, kerinduan, kesedihan dan tekanan mereka ketika berada di penjara,” katanya.

Zul yakin setiap coretan emosi banduan itu mempunyai tinggalan cerita tersendiri dan dapat memberi pengajaran serta pedoman kepada orang lain.

Istimewanya, ada juga ahli keluarga bekas banduan dan kakitangan penjara yang kembali menjejakkan kaki ke lokasi itu selepas ia dibuka kepada umum.

“Ketika mula dibuka dulu, hampir 150 ahli keluarga kakitangan penjara yang tinggal di kuarters berhampiran mengadakan perjumpaan di sini.

“Itulah pertama kali mereka menjejakkan kaki ke dalam penjara ini sekali gus mengimbau kenangan ketika ibu bapa masih bekerja di sini,” katanya.

Sesi lawatan, ruang pameran

Bagi memahami secara dekat tentang penjara ini, pengunjung berpeluang menyertai sesi lawatan yang disediakan.

Lawatan penuh mengambil masa selama sejam 30 minit pada Rabu hingga Ahad.

Bagi lawatan ekspres pula tempohnya hanya 30 minit sahaja.

Pengunjung bukan sahaja dapat melihat sel dan tempat mandi, malah bilik gelap, galeri rumah akhir dan pameran-pameran berkaitan.

Antara yang menarik ialah tayangan video sebatan yang memberi gambaran mengenai bentuk hukuman yang pernah dilaksanakan di penjara itu.

Selain itu, pelbagai program kesenian turut dianjurkan di lokasi ini dengan yang terbaharu, Graff for Nation 2.0 yang menghimpunkan seramai 26 penggiat grafiti dari enam negara.

Namun, di sebalik aktiviti seni dan lawatan yang semakin rancak, penjara ini tidak terlepas dikaitkan dengan cerita seram dan unsur paranormal.

Ada pengunjung yang datang dengan rasa takut kerana menyangka lokasi ini berhantu.

“Lucu juga apabila melihat pengunjung yang baru sampai tiba-tiba terus meluru pulang selepas terdengar suara jeritan dari dalam penjara.

“Sebenarnya, itu bukan jeritan akibat ternampak hantu atau makhluk halus, tetapi jeritan pengunjung selepas melihat tayangan video hukuman sebatan yang sedang dimainkan,” katanya.

Pengalaman menginap di lokap

Telefon disimpan, bermalam di dalam bilik lokap sebenar dan menjalani rutin seperti tahanan.

Demikian pengalaman baharu yang disediakan di KotaJail menerusi Lockup Inn.

Zul berkata, pendekatan itu memberi peluang kepada masyarakat untuk merasai suasana kehidupan di penjara.

“Lockup Inn merupakan produk terbaharu kami yang ditawarkan menerusi program motivasi dan pembinaan pasukan.

“Konsep ini sedikit berbeza daripada program pembinaan pasukan biasa kerana elemen kepenjaraan diterapkan dalam setiap aktiviti.

“Menariknya, peserta berpeluang bermalam di bilik lokap sebenar yang pernah menempatkan tahanan suatu ketika dulu,” katanya.

Penginapan itu mempunyai enam bilik yang mampu menampung sehingga 60 orang pada satu-satu masa.

Bagi memastikan keselesaan peserta, setiap bilik turut dilengkapi katil bertingkat, pendingin hawa dan tandas.

Bagaimanapun, kesan contengan dan tulisan pada dinding dibiarkan bagi mengekalkan suasana asal serta nilai sejarah bilik lokap berkenaan.

Selain penginapan, KotaJail turut menyediakan kemudahan lain seperti gelanggang padel, surau, studio kecergasan, perpustakaan, ruang acara serta kafe dan kedai makanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN