NEW YORK: Arahan pemindahan terbaharu tentera Israel kepada penduduk di kawasan Deir el-Balah ke selatan Gaza menjadi satu lagi halangan besar kepada usaha bantuan kemanusiaan di wilayah tersebut, menurut Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) pada Ahad.
Dalam satu kenyataan, OCHA memberi amaran perintah pemindahan besar-besaran yang dikeluarkan tentera Israel itu ‘menjejaskan talian hayat yang sudah pun rapuh’ yang selama ini membantu rakyat Gaza untuk terus hidup.
Pada awal pagi Ahad, tentera Israel mengarahkan semua yang berada di kawasan tengah Gaza supaya segera berpindah kerana operasi ketenteraan besar dijangka berlaku.
Orang ramai kemudian berpusu-pusu mengangkut barangan mereka dan menuju ke arah selatan dalam keadaan penuh ketakutan.
OCHA melaporkan kakitangan PBB masih kekal berada di kawasan tersebut, dan koordinat lokasi mereka telah dikongsi dengan pihak-pihak berkaitan.
“Lokasi ini seperti semua kawasan awam iaitu mesti dilindungi, tanpa mengira arahan pemindahan,” tegas OCHA, sambil memberi amaran sebarang kerosakan terhadap klinik kesihatan, infrastruktur air atau gudang bantuan akan memberi kesan mengancam nyawa.
OCHA menganggarkan antara 50,000 hingga 80,000 orang berada di kawasan Deir el-Balah ketika perintah pemindahan diumumkan.
Kini 87.8 peratus wilayah Gaza berada di bawah perintah pemindahan atau zon ketenteraan Israel, menyebabkan 2.1 juta penduduk wilayah itu terhimpit dalam hanya 12 peratus wilayah yang masih belum dikuasai sepenuhnya.










