BUENOS AIRES: Mahkamah Agung Argentina menemukan dokumen berkaitan rejim Nazi dalam arkibnya termasuk bahan propaganda yang digunakan untuk menyebarkan ideologi Adolf Hitler di negara Amerika Selatan itu, menurut seorang pegawai kehakiman kepada Associated Press.
Penemuan itu berlaku ketika mahkamah membuat persiapan mewujudkan sebuah muzium yang akan mempamerkan dokumen-dokumen bersejarahnya, kata sumber yang enggan didedahkan.
Antara dokumen yang ditemui termasuk poskad, gambar dan bahan propaganda daripada rejim Jerman ketika era Perang Dunia Kedua.
Sebahagian bahan tersebut bertujuan untuk mengukuhkan dan menyebarkan ideologi Hitler di Argentina ketika Perang Dunia Kedua sedang berlangsung, menurut sumber itu lagi.
Kotak-kotak dokumen berkenaan dipercayai berkaitan dengan penghantaran 83 bungkusan ke Buenos Aires pada 20 Jun 1941 yang dihantar oleh kedutaan Jerman di Tokyo menaiki kapal wap Jepun bernama Nan-a-Maru.
Ketika itu, pihak diplomatik Jerman di Argentina telah memohon agar bahan tersebut dilepaskan dengan alasan ia mengandungi barangan peribadi, namun Bahagian Kastam dan Pelabuhan telah menahan penghantaran tersebut.
Presiden Mahkamah Agung, Horacio Rosatti telah mengarahkan agar bahan tersebut dipelihara dengan teliti dan menjalani analisis menyeluruh.