Lembah Silikon India dibadai banjir besar

Lembah Silikon India dibadai banjir besar

PENDUDUK mengharungi jalan yang dinaiki air berikutan hujan lebat di Bengaluru, pada Isnin lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Sebahagian daripada bandar Bengaluru yang sering dipanggil ‘Lembah Silikon India’ kini lumpuh akibat dilanda banjir besar ekoran hujan lebat sejak dua hari lalu.

Pihak berkuasa meletakkan bandar itu dalam keadaan berjaga-jaga sejak Selasa berikutan pembentukan siklon di Laut Andaman yang membawa lebih banyak hujan.

Tiga termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun maut dalam kes berkaitan hujan pada Isnin lalu.

Bengaluru menempatkan banyak syarikat teknologi global utama, menyebabkan ramai majikan meminta pekerja untuk bekerja dari rumah akibat banjir.

Banyak kawasan di bandar itu mencatatkan hujan sebanyak 100 milimeter (mm) pada Isnin, jumlah tertinggi sejak 2011.

Selain daripada takungan air yang teruk dan gangguan lalu lintas yang menjejaskan kehidupan seharian, hujan lebat turut menyebabkan kerosakan besar harta benda.

Di kawasan koridor IT utama bandar itu, tembok pagar sebuah syarikat perisian, i-Zed, runtuh, mengorbankan seorang pekerja wanita berusia 35 tahun.

Pihak berkuasa memaklumkan, majlis perbandaran mengenal pasti 210 kawasan berisiko banjir dan sedang menjalankan usaha pembaikan secara berterusan bagi menangani keadaan.

Banjir menjadi fenomena berulang di Bengaluru dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pakar sebahagiannya menyalahkan pembangunan pesat di atas tasik dan kawasan lembab serta perancangan bandar yang lemah sebagai punca krisis tersebut.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×