Lakukan sumbang mahram, adik-beradik di Medan guna p-hailing buang mayat bayi - Utusan Malaysia

Lakukan sumbang mahram, adik-beradik di Medan guna p-hailing buang mayat bayi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDAN: Sepasang adik-beradik kandung ditahan polis selepas menjalin hubungan sumbang mahram hingga melahirkan seorang bayi lelaki sebelum membuang mayat bayi tersebut melalui perkhidmatan penghantaran p-hailing.

Suspek lelaki, Reynaldi, 25, dan adik perempuannya, Najma Hamida, 21, ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Medan susulan penemuan mengejutkan mayat bayi dalam sebuah kotak yang dihantar oleh seorang penunggang motosikal p-hailing ke sebuah masjid berhampiran tanah perkuburan di Jalan Kapten Muchtar Basri, Medan Timur.

Ketua Polis Medan, Komisioner Gidion Arif Setyawan berkata, hasil siasatan mendapati bayi tersebut adalah hasil hubungan terlarang antara pasangan adik-beradik itu yang dipercayai telah beberapa kali melakukan hubungan seks walaupun tidak tinggal serumah.

“Suspek wanita mengaku menjalin hubungan cinta dengan abang kandungnya. Dia melahirkan bayi lelaki itu secara bersendirian di sebuah penempatan setinggan di Sicanang, Medan Belawan pada 3 Mei lalu,” katanya dalam sidang akhbar

Menurut Gidion, bayi yang dilahirkan secara pramatang itu mengalami komplikasi kesihatan dan telah dibawa ke Hospital Delima Martubung pada 7 Mei. Namun, disebabkan kekangan kewangan dan ketiadaan dokumen pengenalan, bayi itu dibawa pulang oleh ibunya.

“Malangnya, bayi tersebut meninggal dunia pada malam yang sama pada pukul 11 malam,” katanya.

Bimbang perbuatan mereka terbongkar, suspek lelaki memasukkan mayat bayi ke dalam kotak dan memesan perkhidmatan penghantaran p-hailing ke masjid berhampiran tanah perkuburan dengan harapan mayat itu akan dikafankan dan dikebumikan oleh penjaga masjid.

Penunggang motosikal terbabit, Yusuf Ansari, bagaimanapun mengesyaki sesuatu apabila gagal menyerahkan bungkusan tersebut kepada individu dikenali sebagai “Putri” seperti yang dinyatakan dalam aplikasi pesanan.

Dia kemudian membuka kotak berkenaan bersama beberapa penduduk dan menemui mayat bayi yang dibalut dengan kain.

Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Kanak-Kanak Polis Medan, Inspektor Dearma Sinaga memaklumkan suspek lelaki menggunakan aplikasi Google untuk mencari masjid berhampiran kawasan perkuburan bagi melaksanakan niat membuang mayat bayi tersebut.

“Kedua-dua mereka telah ditahan dan sedang disiasat secara mendalam termasuk melalui ujian DNA bagi mengesahkan pertalian bayi itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN