TEL AVIV: Ribuan penduduk terpaksa dipindahkan selepas Israel ‘terkepung’ akibat bencana kebakaran hutan yang disifatkan terburuk dalam sejarah dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengisytiharkan darurat nasional.
Netanyahu turut memberi amaran kebakaran hutan besar yang sedang marak di sekitar Baitulmuqaddis berpotensi merebak ke dalam kota suci itu dengan pasukan bomba bertungkus-lumus mengawal api marak yang mencederakan beberapa orang.
Asap tebal kelihatan menyelimuti lebuh raya berhampiran Baitulmuqaddis, memaksa pasukan tentera turut dikerahkan untuk membantu operasi menyelamat.

Agensi penyelamat Magen David Adom (MDA) memaklumkan, setakat ini, 23 orang menerima rawatan, 13 daripadanya dibawa ke hospital akibat terhidu asap dan melecur, termasuk dua wanita hamil dan dua bayi.
Tahap amaran sudah dinaikkan ke peringkat tertinggi dan Netanyahu memberi amaran angin barat boleh menolak api ke pinggir Baitulmuqaddis malah ke dalam bandar.
“Kami perlu membawa seberapa banyak jentera bomba yang ada dan mencipta zon sekatan api jauh melebihi garisan kebakaran semasa. Kami kini berada dalam kecemasan negara, bukan hanya tempatan.
“Keutamaan sekarang ialah mempertahankan Baitulmuqaddis,” katanya dalam satu kenyataan video.
Pihak berkuasa lambat bertindak
Bercakap berhampiran bandar Modiin ketika kebakaran marak di lereng bukit berhampiran, seorang penduduk Yuval Aharoni, 40, meluahkan kekecewaan dengan tindakaan lambat pihak berkuasa.
“Ia amat menyedihkan kerana kami tahu cuaca, kami agak tahu perkara itu akan berlaku dan kami masih merasakan mereka tidak cukup bersedia dengan pesawat besar yang boleh menurunkan sejumlah besar air,” katanya.
Polis menutup lebuh raya utama Baitulmuqaddis–Tel Aviv dan memindahkan penduduk sepanjang laluan tersebut.
Kebakaran berlaku di kawasan yang baru sahaja dilanda api minggu lalu dan lima komuniti yang menempatkan ribuan penduduk sudah dikosongkan selepas suhu tinggi dan angin kencang menyebabkan kebakaran hutan itu merebak dengan cepat.

Pelajar yang menyaksikan insiden itu, Yosef Aaron berkata, ramai polis dan bomba tiba tetapi tidak banyak membantu kerana api sudah pun menguasai kawasan sepenuhnya.
Ketua Bomba, Eyal Caspi dalam sidang akhbar yang disiarkan di televisyen menyatakan pesawat pemadam kebakaran tidak dapat beroperasi disebabkan keadaan cuaca buruk.
“Pesawat kami tidak boleh berbuat apa-apa sekarang disebabkan keadaan cuaca. Matlamat kami adalah untuk menyelamatkan nyawa. Kami mungkin sedang berdepan kebakaran paling besar di Israel dalam tempoh satu dekad,” katanya.
Polis menggesa orang ramai tidak memasuki kawasan terjejas, terutama di sekitar bukit-bukit Baitulmuqaddis dan laluan Latrun–Bet Shemesh yang mengalami kebakaran terburuk.
Batal sambutan Hari Merdeka
Helikopter digunakan untuk memadam api, sementara ramai pemandu dilihat meninggalkan kenderaan mereka untuk menyelamatkan diri.
Menteri Keselamatan Nasional, Itamar Ben Gvir mendakwa, bencana itu mungkin berpunca daripada pembakaran secara sengaja dan polis sudah menahan seorang penduduk Baitulmuqaddis Timur yang cuba membakar ladang di selatan bandar.
Namun, tiada pengesahan rasmi mengaitkan kes itu dengan kebakaran besar yang sedang berlaku.
Kementerian Luar Israel menghubungi beberapa negara seperti Greece, Cyprus, Croatia, Itali dan Bulgaria untuk meminta bantuan.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam satu hantaran di platform X menyatakan solidariti dan menawarkan bantuan material kepada Israel.
Menurut pejabat Netanyahu, tiga pesawat bantuan dari Itali dan Croatia dijangka tiba dalam masa terdekat.
Ben Gvir turut mengarahkan pembatalan acara sambutan Hari Kemerdekaan pada malam semalam bagi menumpukan sepenuhnya sumber kepada usaha menyelamat dan bersiap sedia menghadapi cuaca yang dijangka bertambah buruk. – AFP










