BAITULMUQADDIS: Beberapa negara menghantar pesawat pemadam kebakaran ke Israel kelmarin bagi membantu memadamkan kebakaran hutan besar yang kini memasuki hari kedua.
Kebakaran hutan terbesar di negara itu memaksa penutupan lebuh raya utama menghubungkan Tel Aviv dan Baitulmuqaddis serta menyebabkan pemandu meninggalkan kenderaan mereka dalam keadaan panik.
Antara negara yang menghantar pesawat bagi membantu memadamkan api termasuk Itali, Croatia, Sepanyol, Perancis, Ukraine dan Romania manakala beberapa negara lain seperti Macedonia Utara dan Cyprus turut menghantar pesawat penyembur air.
Pihak berkuasa Israel memaklumkan sebanyak 10 pesawat pemadam kebakaran beroperasi pada pagi kelmarin dengan lapan lagi tiba semalam.
Kebakaran tercetus sekitar tengah hari Rabu akibat cuaca panas dan kering, serta tiupan angin kencang yang menyebabkan api marak dengan pantas dan membakar kawasan hutan pain.
Beberapa komuniti telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga sementara asap tebal menjadikan langit di Baitulmuqaddis kelihatan kelabu.
Menurut jurucakap pihak berkuasa bomba dan penyelamat Israel, Tal Volvovitch, kebakaran itu memusnahkan kira-kira 20 kilometer persegi kawasan hutan, menjadikannya kebakaran paling besar di negara haram tersebut dalam tempoh sedekad.
Beliau menyatakan tiada rumah yang musnah setakat ini sekali gus menyifatkannya sebagai satu ‘keajaiban’.
Pihak berkuasa menggesa orang awam agar menjauhi taman dan kawasan hutan serta lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti seperti memanggang, terutama sempena Hari Kemerdekaan Israel pada Khamis, yang lazimnya disambut dengan acara barbeku keluarga di ruang terbuka.










