Israel ragut 23 lagi nyawa tidak berdosa di Gaza - Utusan Malaysia

Israel ragut 23 lagi nyawa tidak berdosa di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEIRAL-BALAH: Serangan udara Israel yang berterusan sejak malam Jumaat hingga awal Sabtu meragut sekurang-kurangnya 23 nyawa rakyat Palestin di Gaza termasuk tiga kanak-kanak dan ibu bapa mereka yang terbunuh selepas khemah penempatan dibom.

Serangan ini berlaku ketika kebimbangan antarabangsa terhadap rancangan Israel untuk mengawal sepenuhnya pengagihan bantuan kemanusiaan ke Gaza memuncak yang kini memasuki bulan ketiga di bawah sekatan penuh terhadap lebih dua juta penduduk wilayah tersebut.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan antarabangsa menolak rancangan Israel itu termasuk cadangan kumpulan dikenali sebagai Gaza Humanitarian Foundation yang terdiri daripada bekas pegawai tentera Amerika Syarikat (AS), kontraktor keselamatan, dan penggiat bantuan kemanusiaan.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan, antara 23 mayat yang dibawa ke hospital dalam tempoh 24 jam lalu termasuk satu keluarga lima beranak yang terbunuh apabila khemah mereka dibedil di kawasan Sabra, bandar Gaza.

Dalam insiden berasingan lewat Jumaat, satu lagi serangan Israel telah mengenai sebuah gudang milik Agensi Bantuan dan Kerja PBB Bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di kawasan utara Jabaliya. Empat orang terbunuh dalam serangan itu menurut Hospital Indonesia yang menerima mayat-mayat mangsa.

Rakaman video AP menunjukkan bangunan yang musnah terbakar dan menurut penduduk, gudang tersebut sebenarnya kosong selepas beberapa kali menjadi sasaran dan diserbu dalam operasi darat Israel sepanjang tahun lalu.

Pihak tentera Israel pula memaklumkan bahawa sembilan askar mereka cedera ringan apabila terkena alat letupan semasa operasi mencari di kejiranan Shijaiyah sebelum dipindahkan ke hospital di Israel.

Israel menyambung semula pengeboman di Gaza pada 18 Mac sekali gus menamatkan gencatan senjata dua bulan dengan Hamas. Tentera darat telah menawan lebih separuh wilayah Gaza dan kini giat menjalankan serbuan serta operasi pencarian di kawasan utara dan juga bandar paling selatan, Rafah. Kedua-dua kawasan kini musnah teruk akibat operasi ketenteraan yang berlarutan.

Di bawah sekatan Israel dapur amal menjadi satu-satunya sumber makanan bagi rakyat Gaza namun puluhan daripadanya terpaksa ditutup dalam beberapa hari lalu akibat kehabisan bekalan.

Israel mendakwa Hamas dan kumpulan militan lain telah menyalahgunakan bantuan kemanusiaan di Gaza, namun belum mengemukakan bukti kukuh. PBB pula menafikan berlaku penyalahgunaan berskala besar dan menegaskan bahawa agihan bantuan diawasi secara teliti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN