Israel dihimpit tekanan antarabangsa, Sepanyol desak perjanjian EU-Israel digantung

Israel dihimpit tekanan antarabangsa, Sepanyol desak perjanjian EU-Israel digantung

BARISAN delegasi negara Eropah dan Arab bergambar semasa mesyuarat Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara di Madrid.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Sepanyol menggesa masyarakat antarabangsa mempertimbang sekatan terhadap Israel, dalam usaha menghentikan serangan berterusan di Gaza.

Gesaan itu dibuat oleh Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares ketika pemimpin negara Eropah dan Arab berhimpun di Madrid pada Ahad, untuk mendesak penamatan operasi ketenteraan Israel di wilayah tersebut.

Beberapa sekutu lama Israel kini mula menyuarakan tekanan selepas rejim itu memperluas operasi ketenteraan terhadap Hamas, susulan serangan 2023 yang mencetuskan perang.

Sekatan bantuan selama dua bulan memburukkan lagi krisis makanan, air, bahan api dan ubat-ubatan di wilayah itu, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kebuluran.

Albares berkata, perbincangan di Madrid bertujuan menghentikan perang Israel yang disifatkan sebagai ‘tidak berperikemanusiaan’ serta tidak masuk akal di Gaza.

Beliau menegaskan, bantuan kemanusiaan mesti dibenarkan masuk ke Gaza secara besar-besaran tanpa syarat dan had, serta tidak dikawal oleh Israel.

“Berdiam diri pada saat seperti ini adalah bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai. Sebab itu kita berhimpun hari ini,” katanya.

Mesyuarat itu disertai wakil negara Eropah seperti Perancis, Britain, Jerman dan Itali, termasuk utusan dari Arab Saudi, Mesir, Jordan, Turkiye, Maghribi, Liga Arab serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Norway, Iceland, Ireland dan Slovenia, yang mengiktiraf negara Palestin seperti Sepanyol, turut hadir bersama Brazil.

PENYELESAIAN DUA NEGARA

Sementara itu, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan mengadakan pertemuan dengan Albares di luar sidang mesyuarat tersebut.

Dalam pertemuan itu, mereka membincangkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, bidang kerjasama bersama serta perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk situasi terkini di Gaza dan Tebing Barat.

Susulan keputusan Kesatuan Eropah (EU) minggu ini untuk menyemak semula perjanjian kerjasama dengan Israel, Albares berkata, Sepanyol akan memohon supaya perjanjian itu digantung serta-merta.

Beliau berkata, Sepanyol juga akan mendesak rakan kongsi untuk mengenakan sekatan senjata terhadap Israel dan tidak menolak sebarang sekatan individu ke atas mereka yang berusaha menggagalkan penyelesaian dua negara.

Mesyuarat pada Ahad turut mempromosikan penyelesaian dua negara sebagai ‘jalan keluar’ kepada konflik Israel-Palestin.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot mengadakan perbincangan secara pautan video dengan rakan sejawat Arab pada hari sama, dengan menegaskan keperluan tekanan secara bersepadu bagi menuntut gencatan senjata, bantuan kemanusiaan serta pembebasan tebusan.

Barrot turut dijadualkan bertemu Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Palestin, Varsen Aghabekian Shahin semasa lawatannya ke Yerevan minggu depan, umum Kementerian Luar Perancis kelmarin.

Usaha diplomatik itu digerakkan sebulan sebelum persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai konflik Israel-Palestin yang akan dipengerusikan oleh Perancis dan Arab Saudi.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez berkata, negaranya akan menyokong draf resolusi di PBB, bertujuan meningkatkan akses bantuan ke Gaza dan memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas tuntutan kemanusiaan antarabangsa.

PERJANJIAN PERDAGANGAN EU-ISRAEL

EU kini sedang menyemak semula Perjanjian Persatuan EU-Israel, asas undang-undang bagi hubungan perdagangan yang mula berkuat kuasa pada Jun 2000.

Tekanan untuk semakan itu semakin meningkat sejak 7 Mei lalu apabila Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp, menggesa EU bertindak.

Kehilangan perdagangan dengan Eropah akan menjadi tamparan hebat kepada ekonomi Israel.

EU merupakan rakan dagang terbesar Israel, di mana 34.2 peratus import datang dari EU, manakala 28.8 peratus eksport Israel dihantar ke EU.

Nilai keseluruhan perdagangan barangan antara kedua-dua pihak pada 2024, mencecah 42.6 bilion euro (RM204 bilion).

Klausa dalam perjanjian yang kini dalam semakan undang-undang adalah Perkara 2.

Ia menyatakan hubungan antara kedua-dua pihak serta semua peruntukan dalam perjanjian hendaklah berdasarkan penghormatan terhadap hak asasi manusia dan prinsip demokrasi, yang menjadi panduan kepada dasar dalaman dan antarabangsa serta unsur penting dalam perjanjian.

“Semakan ini akan menilai secara khusus pematuhan Israel terhadap peruntukan hak asasi manusia dalam perjanjian tersebut,” kata Pengarah Institut New Lines, Caroline Rose.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×