TOKYO: Bekas Menteri Pertanian Jepun, Taku Eto memaklumkan membuat keputusan meletak jawatan selepas menerima kecaman hebat ekoran kenyataannya yang mengakui tidak pernah membeli beras kerana sering menerimanya secara percuma.
Eto menjadi sasaran kritikan selepas media tempatan mendedahkan ucapannya dalam satu majlis kutipan dana politik hujung minggu lalu, di mana beliau secara terbuka menyatakan sering menerima sumbangan bekalan beras yang banyak daripada penyokongnya.
Kenyataan itu mencetuskan kemarahan umum, khususnya dalam kalangan rakyat yang tertekan dengan kenaikan mendadak harga beras akibat hasil tuaian yang merosot dan permintaan tinggi berikutan lonjakan pelancongan ke Jepun.
“Saya membuat kenyataan yang amat tidak wajar pada ketika rakyat sedang menderita akibat harga beras yang melambung,” kata Eto kepada wartawan selepas menyerahkan surat peletakan jawatannya di Pejabat Perdana Menteri.
Penyiar awam NHK melaporkan bekas Menteri Alam Sekitar, Shinjiro Koizumi dilantik menggantikan Eto.
Harga beras yang kini hampir dua kali ganda berbanding tahun lalu menjadi isu utama dalam kalangan pengundi Jepun, yang sebelum ini sudah terbiasa dengan deflasi berpanjangan dan gaji rendah sejak sekian lama.
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Shigeru Ishiba sebelum ini cuba menangani kenaikan harga tersebut dengan mengeluarkan bekalan beras daripada stok simpanan kecemasan sejak Mac lalu, namun langkah itu dilihat gagal memberi kesan ketara.
Data terkini menunjukkan harga beras runcit kembali meningkat dalam minggu berakhir 11 Mei, selepas mencatat penurunan pertama dalam 18 minggu.
Keadaan itu menyebabkan pengguna dan peruncit Jepun mula beralih kepada beras import yang lebih murah.
Tinjauan pendapat oleh Kyodo News pada Ahad lalu menunjukkan sokongan terhadap Ishiba merosot ke paras terendah iaitu 27.4 peratus, dengan hampir sembilan daripada 10 pengundi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap cara kerajaan menangani isu kenaikan harga beras.










