Enggan akhiri perang di Gaza, AS muak dengan ‘permainan’ Israel

Enggan akhiri perang di Gaza, AS muak dengan ‘permainan’ Israel

PENUNJUK perasaan Iran memegang patung menyerupai Benjamin Netanyahu dan Donald Trump, semasa perhimpunan anti-Israel di Teheran, pada 10 Januari lepas. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) sudah mula muak dengan cara kerajaan Israel yang dipimpin Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menangani perang di Gaza.

Tanpa berselindung, Utusan Asia Barat Presiden Donald Trump, Steve Witkoff, mengakui Israel sengaja memanjangkan perang yang ingin ditamatkan oleh AS.

Dalam pertemuan ketika menjelang pembebasan tebusan Amerika-Israel, Edan Alexander, Witkoff menjelaskan jurang pendirian yang ketara antara Trump dan kerajaan Netanyahu.

“Kami mahu membawa pulang tebusan, tetapi Israel tidak bersedia untuk menamatkan perang.

“Israel sedang melanjutkan konflik ini, walaupun kami tidak nampak ke mana lagi hala tuju yang ada dan satu perjanjian mesti dicapai,” kata Witkoff dalam pertemuan itu, menurut saluran Channel 12 memetik sumber yang hadir.

Ia merupakan satu lagi siri tindakan dingin berprofil tinggi dari Rumah Putih yang mencerminkan kekecewaan AS terhadap kerajaan Israel, dan mungkin juga petanda Washington semakin hilang minat dengan masa depan sekutunya itu.

“Trump bukan anti-Israel, tetapi dia tidak peduli mengenai Israel. Bagi Trump, Netanyahu kini dianggap sebagai beban dan tidak menguntungkannya,” kata bekas diplomat Israel, Alon Pinkas.

Trump mungkin belum melancarkan serangan terbuka sebagaimana yang berlaku terhadap pemimpin berperang lain, seperti konflik antara Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dan seterunya dari Russia, Vladimir Putin.

Namun, langkah dasar terkininya menggugat keselamatan Israel, melemahkan kedudukannya di pentas diplomatik dan bertentangan dengan dasar pertahanan terutama dalam menangani Iran.

LAWATAN RASMI TRUMP

Minggu lalu, Trump mengumumkan perjanjian gencatan senjata dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman tanpa melibatkan Israel.

Bahkan, beliau menyifatkan kumpulan Houthi sebagai ‘berani’, hanya beberapa hari selepas satu daripada peluru berpandu kumpulan itu menghentam lapangan terbang utama Israel, menyebabkan banyak syarikat penerbangan antarabangsa menghentikan perjalanan.

Sebelum ini, Trump turut menolak desakan Israel untuk melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Iran, sebaliknya membuka rundingan dengan Teheran bagi menamatkan program nuklearnya.

Beberapa hari selepas perjanjian gencatan senjata dengan pemberontak Houthi dimeterai, laporan bocor mendedahkan pentadbiran Trump menggugurkan tuntutan era Joe Biden yang mengaitkan kemajuan program nuklear awam Arab Saudi dengan usaha menormalisasi hubungan Israel.

Langkah Trump itu menunjukkan beliau enggan terikat dengan sebarang syarat semasa lawatannya ke Riyadh minggu in.

Ketiadaan Israel dalam jadual rasmi seorang Presiden AS adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam beberapa dekad dan dianggap ‘pelik’.

KEPENTINGAN POLITIK NETANYAHU

Walaupun pembebasan Edan Alexander dipersetujui tanpa campur tangan Israel, reaksi awal Netanyahu bukan mengucapkan terima kasih kepada Trump, sebaliknya seolah-olah cuba mengambil kredit di atas kejayaan itu.

“Pembebasan dijangka tentera IDF, Edan Alexander tanpa sebarang pertukaran balas adalah hasil dasar tegas yang kami laksanakan dengan sokongan Presiden Trump, dan juga tekanan ketenteraan oleh IDF di Semenanjung Gaza,” kata pejabat Perdana Menteri Israel.

Netanyahu kini berdepan kemarahan keluarga tebusan dan penyokong mereka yang menuduh beliau memanjangkan perang demi kepentingan politik peribadi.

Sikap keras kepala Netanyahu terhadap pembebasan Alexander dilihat boleh mengundang ketegangan dengan tokoh berpengaruh besar itu, yang terkenal dengan ego tinggi dan sukakan pujian, sifat yang kini membentuk dasar luar negara dari Beijing hingga Brussels.

Di Israel, lebih dua pertiga rakyatnya menyokong penamatan perang sebagai pertukaran pembebasan tebusan.

Namun, masih ada sebahagian yang mahu perang tersebut diteruskan termasuk pemimpin sayap kanan yang menjadi tunjang dalam gabungan Netanyahu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×