SYDNEY: Australia memulakan usaha pembersihan banjir di tenggara negara itu yang meragut lima nyawa dan menenggelamkan lebih 10,000 hartanah.
Perdana Menteri, Anthony Albanese mengumumkan akan bekerjasama rapat di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan bagi memastikan penduduk menerima sokongan yang diperlukan sepanjang semasa proses pemulihan.
Di wilayah pantai utara tengah New South Wales yang paling teruk terjejas, penilaian kerosakan giat dijalankan selepas banjir besar memutuskan hubungan beberapa bandar, menghanyutkan ternakan dan memusnahkan kediaman.
Keadaan dilaporkan bertambah baik sejak petang semalam di kawasan-kawasan yang terjejas di negeri paling padat penduduk itu.
Menurut Pesuruhjaya Perkhidmatan Kecemasan Negeri, Mike Wassing dalam satu sidang media di Sydney, ratusan penduduk yang terkesan akibat banjir masih berlindung di pusat pemindahan dan sebanyak 52 operasi menyelamat dijalankan sepanjang malam.
Mangsa korban terbaharu ialah seorang lelaki berusia 80-an yang ditemui meninggal dunia di sebuah hartanah yang ditenggelami air kira-kira 50 kilometer (km) dari bandar Taree, antara kawasan paling parah terjejas, menurut polis.
Albanese yang terpaksa membatalkan lawatannya ke Taree pada Jumaat akibat banjir menyifatkan berita korban tambahan itu amat menyedihkan.
Taree terletak di tepi Sungai Manning, lebih 300km di utara Sydney.
“Seluruh doa dan ingatan kami tertumpu kepada keluarga mangsa dan komuniti yang terkesan,” ujar Albanese dalam satu kenyataan.
Banjir yang berlaku selepas hujan lebat selama beberapa hari itu menyebabkan simpang jalan dan papan tanda ditenggelami air.
Ratusan kenderaan diliputi air hingga ke paras cermin hadapan selepas paras sungai naik mendadak dan melimpah ke daratan menyebabkan sekitar 50,000 orang terputus hubungan akibat banjir.
Australia kini kerap dilanda bencana cuaca ekstrem yang berpunca daripada perubahan iklim.
Selepas kemarau dan kebakaran hutan dahsyat pada penghujung dekad lalu, negara itu kini menghadapi banjir berulang sejak awal 2021.-AFP










