WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memberi gambaran tidak akan mencampuri konflik yang berlaku antara India dengan Pakistan, namun menggesa kedua-dua negara itu meredakan ketegangan yang berlaku, selain menyifatkan perang antara mereka bukan urusan Washington.
Naib Presiden, JD Vance berkata, pihaknya menyokong usaha damai tetapi AS enggan campur dan tidak akan terlibat dalam peperangan yang tercetus antara kedua-dua negara.

“Kami mahu ketegangan ini reda secepat mungkin. Tetapi kami tidak boleh mengawal negara-negara ini.
“Apa yang boleh kami lakukan hanyalah menggalakkan mereka supaya bertenang, tetapi kami tidak akan campur tangan dalam perang yang pada dasarnya tiada kaitan dengan kami dan di luar kawalan AS.
“Kami berharap dan menjangkakan perkara ini tidak akan merebak menjadi perang serantau yang lebih besar atau lebih buruk lagi hingga mencetus konflik nuklear,” kata Vance dalam temu bual dengan Fox News.
India merupakan rakan kongsi penting Washington dalam usaha mengekang pengaruh China yang semakin meningkat, manakala Pakistan masih kekal sebagai sekutu walaupun peranannya semakin kecil selepas tentera AS berundur dari Afghanistan pada 2021.
Penganalisis dan bekas pegawai pertahanan berpendapat, penglibatan AS untuk mencapai matlamat diplomatik dalam perang Russia di Ukraine dan Israel di Gaza menyebabkan Washington memilih pendekatan ‘tunggu dan lihat’ dan enggan memberi banyak tekanan dalam konflik terbaharu itu.
Sejak tiga hari lalu, kedua-dua negara saling melancarkan serangan yang kini sudah meragut lebih 50 nyawa.
Washington dilaporkan mengadakan perbualan diplomatik berterusan dengan kedua-dua negara sejak beberapa hari lalu.
Pada Khamis, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menghubungi Perdana Menteri Pakistan dan Menteri Luar India bagi menggesa kedua-duanya meredakan ketegangan dan mengadakan dialog secara langsung.
Presiden AS, Donald Trump turut menyatakan kekesalannya terhadap peningkatan ketegangan itu dan menyeru India serta Pakistan untuk segera mencari penyelesaian yang bertanggungjawab.
Selain AS, kuasa-kuasa besar dunia termasuk Russia dan China turut menyeru agar kedua-dua negara bertenang memandangkan Kashmir merupakan antara zon konflik bersenjata nuklear yang paling berbahaya dan padat penduduk di dunia.
Konsulat AS di Lahore, Pakistan turut mengarahkan kakitangannya berlindung di tempat masing-masing.
BERBALAS SERANGAN DRON
India melaporkan kemudahan ketenteraan di Jammu, Pathankot dan Udhampur menjadi sasaran dron dan peluru berpandu buatan Pakistan di sepanjang sempadan antarabangsa di Kashmir.
Bagaimanapun, kementerian itu menjelaskan semua ancaman berjaya dipatahkan dan tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan.

Saluran televisyen India turut menayangkan rakaman nyalaan dan letupan di langit Jaisalmer, Rajasthan, negeri yang bersempadan dengan wilayah Sindh di Pakistan.
Dalam kenyataan balas, kerajaan Pakistan menafikan melancarkan sebarang serangan terhadap Pathankot, Srinagar atau Jaisalmer.
Kementerian Luar Negeri Pakistan menyifatkan tuduhan India sebagai tidak berasas, bermotifkan politik dan sebahagian daripada kempen propaganda yang melulu untuk memburukkan imej Pakistan.
Pada Khamis, tentera Pakistan mendakwa menembak jatuh 29 dron serangan buatan Israel jenis Harop di beberapa lokasi di negara itu.
Katanya, bandar Rawalpindi yang menempatkan ibu pejabat angkatan tentera Pakistan serta stadium kriket turut menjadi sasaran, memaksa baki perlawanan dipindahkan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
TANGGUNGJAWAB HENTI KONFLIK
Beberapa laporan tempatan menyatakan berlaku pembelian panik di beberapa bandar di Punjab apabila penduduk mula menyimpan barangan keperluan sebagai langkah berjaga-jaga.
Sekolah-sekolah ditutup di beberapa bahagian di wilayah Kashmir, enam daerah sempadan di Punjab, Chandigarh serta Rajasthan yang bersempadan dengan Pakistan.
Sementara itu, Duta Pakistan ke AS, Rizwan Saeed Sheikh, mengesahkan India dan Pakistan berkomunikasi pada peringkat Majlis Keselamatan Negara (NSC) masing-masing, di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak.

Dalam satu wawancara bersama CNN beliau berkata, tanggungjawab untuk meredakan ketegangan kini terletak di bahu India, susulan dua hari insiden pertempuran yang berlaku di sempadan.
“Saya fikir wujud komunikasi di peringkat NSC, namun peningkatan ketegangan baik dari segi tindakan mahupun retorik perlu dihentikan,” katanya tanpa memperincikan bentuk komunikasi yang dimaksudkan.
Beliau turut menegaskan Pakistan berhak untuk bertindak balas jika perlu.
“Tanggungjawab untuk meredakan ketegangan kini terletak pada India, tetapi terdapat had kepada tahap kesabaran kami. Pakistan berhak untuk bertindak balas,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Pakistan sendiri turut memberi tekanan kepada kerajaan untuk mengambil tindakan. – AFP/AGENSI