AL-AHSA: Penyelidik di Universiti Raja Faisal di wilayah timur Arab Saudi membangunkan sensor pintar kos rendah khas untuk mengurangkan kerosakan hasil pertanian segar.
Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan, peranti tersebut yang kini didaftarkan dengan Pejabat Paten dan Tanda Dagangan Amerika Syarikat (AS), direka untuk meramalkan kerosakan awal semasa proses pengangkutan dan penyimpanan.
Dibangunkan oleh pasukan dari Kolej Sains KFU, peranti ini mengesan sebatian organik yang meruap, terutamanya gas etilena, petunjuk utama kemerosotan kualiti buah dan sayuran.
Penderia pintar ini membolehkan pemantauan jarak jauh pada asa nyata oleh pihak berkepentingan merentas rantaian bekalan makanan, sekali gus membantu pihak dalam rantaian bekalan makanan mengurangkan pembaziran buah-buahan dan sayur-sayuran.
“Prototaip yang ringan dan kompak ini mudah dipasang dalam unit penyejukan atau bekas pengangkutan dan boleh diintegrasi dalam sistem pengedaran makanan serta logistik,” kata laporan itu.
Sensor ini dipamerkan semasa Persidangan Ke-16 Konvensyen PBB Mengenai Kemarau di Riyadh pada Disember lalu, dan mendapat sambutan hangat pelabur kerana potensinya dalam menyokong pertanian pintar dan mengurangkan pembaziran makanan.










