GENEVA: Sekurang-kurangnya 427 etnik Rohingya dikhuatiri lemas dalam dua kes kapal karam di perairan Myanmar, menurut Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Menurut UNHCR, maklumat diperoleh daripada ahli keluarga mangsa dan sumber lain menunjukkan berlaku dua tragedi kapal karam berasingan di perairan Myanmar.
Kapal pertama dilaporkan berlepas dari kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh menuju ke Rakhine di Myanmar untuk mengambil lebih ramai penumpang namun tenggelam pada 9 Mei.
Daripada 267 orang di atas kapal, hanya 66 orang yang terselamat.
Kapal kedua membawa 247 orang pula karam pada keesokan harinya dengan hanya 21 mangsa yang terselamat.
Jurucakap UNHCR, Babar Baloch berkata, musim monsun dengan angin kencang serta hujan lebat memburukkan keadaan dan pihaknya kini turut menyiasat laporan mengenai kapal ketiga yang membawa 188 pelarian Rohingya yang berlepas dari Myanmar pada 14 Mei.
Katanya, setiap tahun, ribuan etnik Rohingya cuba melarikan diri menaiki bot merentasi Teluk Bengal dan Laut Andaman tetapi ramai yang hilang atau gagal dikenal pasti kerana ada pihak berkuasa yang tidak mengambil tindakan menyelamat.
Sepanjang tahun lalu seramai 657 etnik Rohingya maut atau hilang menerusi lebih 150 pelayaran bot di kawasan tersebut.
Banyak pelarian Rohingya melarikan diri ke Indonesia dan pihak berkuasa negara itu melaporkan peningkatan ketara dalam jumlah pelarian yang tiba sejak kebelakangan ini.










