VANCOUVER: Suspek yang didakwa memandu kenderaan dan merempuh orang ramai ketika satu festival Filipina berlangsung di sini mempunyai senjarah sakit mental.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 11 orang maut dengan pihak berkuasa Kanada menjangkakan jumlah korban boleh meningkat.
Polis masih belum mengenal pasti motif kejadian yang berlaku petang semalam di Vancouver.
Ketua Polis, Steve Rai menyatakan suspek yang berusia 30 tahun memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Audi semasa kejadian.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan, suspek mempunyai rekod masalah mental dan isu dengan polis.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Kanada, Mark Carney berkata pihak berkuasa giat memantau keadaan dengan teliti.
Menurut Agensi Berita Filipina (PNA), Carney dalam satu hantaran di Facebook menyatakan rasa dukacita terhadap tragedi itu.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan cedera, kepada komuniti Filipina-Kanada, serta kepada semua di Vancouver.
“Kami sedang memantau situasi ini dengan teliti dan berterima kasih kepada pasukan penyelamat atas tindakan pantas mereka,” katanya.
Menurut saksi, kenderaan suspek memasuki kawasan pejalan kaki, memecut melepasi trak makanan sebelum merempuh orang ramai yang menghadiri pesta.
Akhbar Vancouver Sun melaporkan ketika kejadian acara itu telah tamat dan penyanyi rap Filipina-Amerika, Apl.de.ap dari kumpulan Black Eyed Peas telah menyelesaikan persembahannya sebelum insiden berlaku.
Ketua Polis Interim Steve Rai dalam sidang media tengah malam berkata orang awam dapat menahan suspek, seorang lelaki Vancouver berusia 30 tahun, sehingga polis tiba dan menangkapnya di tempat kejadian.
Seorang saksi Abigail Andiso, memberitahu Vancouver Sun yang dia terdengar dua dentuman kuat diikuti jeritan sebelum melihat orang ramai berlari ke arah East 43rd Avenue.
“Terdapat mayat di jalan raya. Mereka dilanggar. Ada yang meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya sambil menjelaskan dia segera menghubungi perkhidmatan kecemasan.