MOSCOW: Dalam usaha mengurangkan kerugian akibat serangan dron Ukraine, tentera Russia dilaporkan membentuk unit tentera bermotosikal sebagai taktik baharu di medan pertempuran.
Dalam satu video yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Russia, kelihatan seorang anggota payung terjun lengkap berpakaian tempur menaiki motosikal lasak sambil membawa raifal di belakangnya dengan letupan berlaku di sekeliling kawasan latihan.
Penggunaan motosikal itu, menurut Institut Kajian Perang (ISW) yang berpangkalan di Washington, menunjukkan Russia kini giat merangka doktrin taktikal yang lebih sistematik untuk kegunaan ofensif bermotosikal meskipun mereka telah menggunakan motosikal di Ukraine sejak lebih setahun lalu,
Jurucakap tentera Ukraine, Leftenan Kolonel Pavlo Shamshyn berkata, Russia kini melatih tenteranya dengan taktik pertempuran bermotosikal bagi meningkatkan kepantasan dan kecekapan mengelak serangan dron yang dianggarkan menyumbang hampir 70 peratus korban tentera mereka.
ISW turut mengesan peningkatan ketara dalam penggunaan motosikal oleh skuad tentera Russia bagi tujuan pengangkutan dan serangan.
Di kawasan berhampiran Bahatyr, barat Donetsk, pasukan Russia melancarkan serangan menggunakan motosikal dan kenderaan awam sepenuhnya namun, sebanyak 15 daripada 18 motosikal musnah, manakala sembilan daripada sepuluh kenderaan lain mengalami kerosakan.
Kehilangan besar kenderaan perisai Russia sejak penghujung tahun lalu turut memaksa tentera negara itu menggunakan lebih banyak kenderaan awam dalam operasi ketenteraan mereka.
Di Sumy, tentera Russia didakwa menghantar anggota menggunakan motosikal empat roda dari wilayah Kursk yang bersempadan bagi merampas kawasan Ukraine sebelum ketibaan bala bantuan berperisai.
Penggunaan motosikal dalam peperangan bukanlah perkara baharu kerana pada era Perang Dunia Kedua, motosikal berperanan penting dalam operasi mengesan musuh dan meninjau kawasan baharu.
Syarikat Harley-Davidson ketika itu turut mengubah suai model WL mereka menjadi WLA model khas untuk tentera Amerika Syarikat.