Puluhan maut letupan pelabuhan di Iran

Puluhan maut letupan pelabuhan di Iran

JUMLAH mangsa korban akibat letupan di pelabuhan terbesar Iran dijangka meningkat akibat ramai yang cedera parah. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh manakala lebih 1,000 cedera dalam satu letupan besar dipercayai berpunca daripada bahan kimia di pelabuhan terbesar Iran di bandar Abbas, kelmarin.

Menurut laporan media rasmi Iran, insiden berlaku di bahagian Shahid Rajaee, iaitu pusat utama kontena negara itu, berhampiran Selat Hormuz yang strategik.

Letupan tersebut berlaku ketika Iran memulakan pusingan ketiga rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat(AS) di Oman, namun setakat ini tiada sebarang petunjuk yang mengaitkan kedua-dua insiden.

Jurucakap Pertubuhan Pengurusan Krisis Iran, Hossein Zafari, berkata letupan dipercayai berpunca daripada penyimpanan bahan kimia yang tidak selamat di dalam kontena.

“Amaran telah diberikan kepada pihak pengurusan pelabuhan ini sebelum ini mengenai potensi bahaya tersebut,” katanya kepada agensi berita ILNA.

Bagaimanapun, seorang jurucakap kerajaan Iran memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan punca sebenar kejadian.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, telah mengarahkan siasatan segera dan menghantar Menteri Dalam Negeri ke lokasi kejadian manakala usaha memadamkan kebakaran dan menghalang ia daripada merebak ke kawasan lain masih diteruskan.

Saluran televisyen rasmi Iran menyiarkan rakaman asap hitam dan jingga tebal membumbung di kawasan pelabuhan serta keadaan sebuah bangunan pejabat yang rosak teruk akibat letupan.

Iran dalam beberapa tahun kebelakangan ini berdepan beberapa insiden maut yang membabitkan infrastruktur tenaga dan industri, kebanyakannya disebabkan kecuaian.

Antara insiden terdahulu termasuk kebakaran kilang penapisan, letupan gas di lombong arang batu serta kejadian kecemasan di Bandar Abbas yang meragut satu nyawa pada tahun lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×