LONDON: Sekeping potret menyayat hati memaparkan seorang kanak-kanak lelaki Gaza yang kehilangan kedua-dua belah tangan akibat serangan udara rejim Zionis dinobatkan sebagai Gambar Terbaik Dunia 2025 oleh Pertubuhan World Press Photo.
Gambar berkenaan dirakam jurufoto Palestin, Samar Abu Elouf untuk akhbar The New York Times, memaparkan Mahmoud Ajjour, 9, yang cedera parah dalam serangan udara Israel di Gaza City pada Mac 2024.
Samar, yang turut dipindahkan dari Gaza pada akhir 2023, kini menetap di kompleks pangsapuri sama dengan Mahmoud di Doha, Qatar.
Beliau juga mendokumentasi kehidupan mangsa-mangsa Gaza lain yang berjaya keluar untuk mendapatkan rawatan.
“Ia gambar yang sunyi, namun bersuara lantang,” kata Pengarah Eksekutif World Press Photo, Joumana El Zein Khoury.
“Ia bukan sahaja tentang seorang kanak-kanak, tetapi juga sebuah peperangan yang kesannya bakal dirasai berpuluh generasi akan datang,” ujarnya.
Dua lagi karya dinobatkan sebagai finalis teratas iaitu Night Crossing oleh John Moore dari Getty Images yang merakam detik penuh emosi di sempadan Amerika Syarikat, serta Droughts in the Amazon oleh Musuk Nolte dari Panos Pictures, menonjolkan kesan kemarau di Amazon dengan imej menyayat hati seorang lelaki berjalan dua kilometer merentasi dasar sungai kering demi menghantar makanan kepada ibunya.
Tahun ini, sebanyak 59,320 penyertaan diterima daripada 3,778 jurufoto merangkumi 141 negara dan pemenang dipilih menerusi tiga kategori utama.