Populariti Donald Trump paling corot

Populariti Donald Trump paling corot

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Populariti Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, menunjukkan kemerosotan mendadak dalam tempoh 100 hari pentadbiran keduanya, menurut satu tinjauan pendapat baharu yang dijalankan oleh CNN bersama firma SSRS.

Hanya 41 peratus rakyat AS menyatakan persetujuan terhadap kepimpinan Trump, sekali gus menjadi angka terendah dalam sejarah bagi mana-mana presiden dalam tempoh tujuh dekad.

Kajian itu mendapati sokongan terhadap Trump merosot empat mata berbanding Mac lalu dan tujuh mata lebih rendah berbanding akhir Februari di mana hanya 22 peratus rakyat menyatakan mereka sangat bersetuju dengan pentadbiran Trump, manakala 45 peratus sangat tidak bersetuju.

Trump mencatatkan penurunan ketara dalam kalangan wanita dan rakyat berketurunan Hispanik, masing-masing susut tujuh mata kepada 36 peratus dalam kalangan wanita dan 28 peratus bagi Hispanik.

Tinjauan tersebut turut menunjukkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan Trump menangani pelbagai isu utama negara turut merosot.

Penurunan ketara direkodkan dalam bidang ekonomi susulan pengenalan pelan tarif baharu yang menyebabkan ketidaktentuan pasaran saham dan kebimbangan terhadap kenaikan harga barang manakala sokongan terhadap pengendalian isu inflasi merosot sembilan mata kepada 35 peratus, manakala sokongan terhadap pelaksanaan tarif jatuh empat mata kepada 35 peratus.

Sementara itu, dalam bidang dasar luar, langkah Trump mendekati Rusia dalam perang Ukraine serta pemotongan program bantuan luar negara menerima bantahan majoriti rakyat, dengan 60 peratus tidak bersetuju.

Satu-satunya bidang di mana Trump memperoleh sedikit sokongan positif ialah dalam isu berkaitan identiti jantina dan transgender, dengan 51 peratus rakyat menyokong langkah beliau mengehadkan definisi jantina kepada lelaki dan perempuan sahaja.

Namun begitu, tindakan beliau dalam mengawal seni, budaya dan sejarah negara ini, seperti mengambil alih Kennedy Center for the Performing Arts serta mengubah pameran di muzium Smithsonian, menerima kecaman, dengan 64 peratus rakyat menganggapnya tidak wajar.

Secara keseluruhan, keyakinan rakyat terhadap Trump untuk menggunakan kuasa presiden secara bertanggungjawab (46 peratus, turun lapan mata) dan memimpin negara dengan sebenar (50 peratus, turun sembilan mata) jatuh ketara sejak Disember lalu.

Kajian itu dijalankan antara 17 hingga 24 April melibatkan 1,678 responden dewasa dari seluruh Amerika Syarikat, dengan margin kesilapan sebanyak 2.9 mata. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya