NEW DELHI: Apple merancang untuk memindahkan sepenuhnya proses pemasangan semua iPhone yang dijual di Amerika Syarikat (AS) ke India seawal tahun depan, beralih dari China untuk mengelakkan tarif yang tinggi, lapor Financial Times.
Langkah ini diambil untuk mengurangkan pergantungan terhadap China akibat perang perdagangan yang dilancarkan oleh Presiden AS, Donald Trump, yang mendorong banyak syarikat teknologi mempelbagaikan rantaian bekalan mereka.
Apple kini sedang memperkukuh kedudukan India sebagai pusat penting dalam sektor pembuatannya, walaupun ketika ini pembekal Apple di negara itu hanya menghasilkan sebahagian kecil iPhone untuk pasaran global.
Penganalisis sebelum ini memberi amaran, barangan pengguna seperti iPhone akan menjadi antara yang paling terkesan akibat tarif luas Trump, dan harga iPhone di AS dijangka meningkat mendadak kerana kebergantungan besar Apple terhadap import dari China.
Kenaikan harga ini berpotensi menekan margin keuntungan Apple dan memberi kelebihan persaingan kepada pengeluar telefon Android.
Awal bulan ini, Washington memberikan pengecualian tarif untuk telefon pintar, komputer dan produk elektronik lain yang kebanyakannya diimport dari China, memberikan sedikit kelegaan kepada syarikat teknologi seperti Apple.
Apple menjual lebih 220 juta unit iPhone setahun di seluruh dunia dengan Counterpoint Research menganggarkan sekitar 20 peratus jumlah import peranti itu ke AS kini datang dari India, manakala selebihnya masih dari China.
Foxconn dan Tata, pembekal utama Apple di India, mengendalikan tiga buah kilang dengan dua lagi dalam pembinaan.
Pada Mac, Foxconn dan Tata menghantar iPhone bernilai hampir AS$2 billion (RM8.75 billion) dari India ke AS, rekod tertinggi berdasarkan data kastam.
Menurut dua sumber kepada Reuters, kilang Foxconn di Chennai kini beroperasi pada hari Ahad, yang kebiasaannya merupakan hari rehat dengan kilang itu menghasilkan 20 juta unit iPhone tahun lalu, termasuk model terbaru iPhone 15 dan iPhone 16.