JEDDAH: Ukraine akhirnya menerima cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk gencatan senjata selama 30 hari dan bersetuju mengadakan rundingan segera dengan Russia dalam perbincangan penting di Jeddah, kelmarin.
Tindak balas positif dari Ukraine mendorong pentadbiran Presiden Donald Trump untuk menarik balik pembekuan bantuan ketenteraan dan meramalkan permulaan usaha menamatkan perang selama tiga tahun itu.
Pegawai Ukraine hadir ke rundingan di Arab Saudi dengan kesediaan untuk berkompromi serta mencadangkan gencatan senjata separa terhadap serangan udara dan laut.
Penasihat Trump mendesak lebih banyak konsesi dan Ukraine akhirnya bersetuju dengan cadangan untuk gencatan senjata penuh selama sebulan dalam perang yang sudah meragut puluhan ribu nyawa.
KEPUTUSAN DI TANGAN RUSSIA
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio memaklumkan, Ukraine menerima tawaran Washington untuk melaksanakan gencatan senjata dan memulakan rundingan segera.
“Kami akan membawa tawaran ini kepada Russia dan berharap mereka menerima pendamaian. Keputusan kini terletak di tangan Moscow.
“Jika mereka menolak, maka malangnya kita akan tahu siapa yang menjadi penghalang kepada usaha perdamaian di sini,” katanya kepada pemberita selepas kira-kira sembilan jam rundingan di sebuah hotel mewah di Jeddah.
Rubio turut mengumumkan AS akan segera menyambung semula bantuan ketenteraan dan perkongsian risikan yang sebelum ini dihentikan kepada Kyiv, susulan pertemuan gagal antara Trump dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pada 28 Februari lalu.
Di Washington, Trump menyatakan kesediaannya untuk menyambut semula Zelensky ke Rumah Putih dan kemungkinan bercakap dengan Presiden Vladimir Putin minggu ini.
Ketika ditanya wartawan mengenai prospek gencatan senjata menyeluruh di Ukraine, Trump hanya berharap ia boleh berlaku dalam masa terdekat.
“Saya tahu kita ada pertemuan besar dengan Russia esok dan beberapa perbincangan hebat diharapkan akan berlaku,” katanya.
Dalam satu kenyataan bersama, Kyiv dan Washington akan memuktamadkan secepat mungkin perjanjian yang memberi akses kepada AS terhadap sumber mineral Ukraine, di bawah tuntutan Trump sebagai pampasan kepada berbilion dolar senjata dibekalkan sewaktu pentadbiran Joe Biden.
Zelensky sepatutnya menandatangani perjanjian itu di Rumah Putih sebelum ketegangan berlaku antara beliau, Trump dan Naib Presiden AS, Jd Vance.
Dalam kenyataan kelmarin, Zelensky segera mengucapkan terima kasih kepada Trump susulan cadangan gencatan senjata positif di Jeddah dan menyatakan AS kini perlu berusaha untuk meyakinkan musuhnya, Russia.
“Pihak AS memahami hujah dan menerima cadangan kami, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Trump atas perbincangan membina antara pasukan kami,” kata Zelensky.
TAKTIK TRUMP BERHASIL?
Sejak AS menghentikan bantuan dan perkongsian risikan, Russia meningkatkan serangan terhadap infrastruktur tenaga Ukraine dan berjaya merampas kembali tanah di wilayah Kursk.
Beberapa jam sebelum rundingan di Jeddah, Ukraine melancarkan serangan besar-besaran terus ke Moscow, dengan ratusan dron ‘menghentam’ ibu negara dan kawasan lain, mengakibatkan tiga nyawa terkorban.
Penasihat utama Zelensky, Andriy Yermak di Jeddah berkata, Ukraine dengan jelas menegaskan matlamatnya untuk keamanan.
“Russia perlu menyatakan dengan jelas sama ada mereka mahukan keamanan atau tidak, atau mahu menamatkan perang yang mereka mulakan atau tidak,” katanya.
Perubahan mendadak pentadbiran Trump terhadap Ukraine yang jelas bertentangan dengan sokongan kuat bekas Presiden, Joe Biden, mengejutkan sekutu Eropah.
Perancis dan Jerman semakin lantang membincangkan keperluan untuk membangunkan pertahanan bersama Eropah sekiranya AS tidak lagi menawarkan jaminan keselamatan melalui Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Namun, penasihat keselamatan negara Trump, Mike Waltz, menegaskan Presiden AS sudah mengubah seluruh perbincangan global ke arah menyokong keamanan.
Waltz turut menyatakan rancangan untuk berbincang dengan rakan sejawatannya dari Russia dalam masa terdekat, selain memuji keputusan Ukraine untuk menghentikan perang dan menamatkan pembaziran sumber negara.- AFP










