BUENOS AIRES: Tujuh individu termasuk doktor, jururawat dan pakar perubatan lain mula dibicarakan di Argentina semalam atas tuduhan pembunuhan berkaitan kematian legenda bola sepak, Diego Maradona, empat tahun lalu.
Mereka yang didakwa termasuk seorang pakar bedah saraf, pakar psikiatri, pakar psikologi, penyelaras perubatan, penyelaras kejururawatan, seorang doktor dan jururawat syif malam.
Kesemua mereka berdepan hukuman penjara antara lapan hingga 25 tahun jika disabitkan kesalahan atas tuduhan pembunuhan dengan niat kerana didakwa cuai dalam memberikan rawatan sewajarnya.
Dalam kenyataan pembukaannya di mahkamah, Pendakwa Raya, Patricio Ferrari mendakwa pasukan perubatan itu gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dalam apa yang digelarnya sebagai ‘teater kematian’ di saat-saat akhir kehidupan Maradona.
Maradona ditemui tidak bernyawa di rumah sewanya di sebuah kawasan elit di Buenos Aires.
Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah kegagalan jantung dan edema pulmonari akut, iaitu keadaan di mana cecair berkumpul di paru-paru.
Pendakwa raya menuduh pasukan perubatan tersebut sengaja memilih rawatan di rumah yang disifatkan sebagai cuai dan tidak mencukupi.
Mereka juga mendakwa Maradona dibiarkan menderita dalam keadaan menyeksakan untuk tempoh yang lama sebelum meninggal dunia.
Panel 20 pakar perubatan yang dilantik oleh pendakwa raya pada tahun 2021 turut merumuskan Maradona mempunyai peluang lebih tinggi untuk hidup sekiranya menerima rawatan di fasiliti perubatan yang sesuai.
Lebih membimbangkan, rumah tempat Maradona dirawat dilaporkan tidak mempunyai alat defibrilator yang penting untuk merawat pesakit jantung.
Kesemua tertuduh menegaskan mereka tidak bersalah.
Perbicaraan yang diadakan di pinggir bandar San Isidro, Buenos Aires dijangka berlarutan sehingga Julai. -AFP










