‘Siapa pengganas sebenar ketika ini, Hamas atau AS?’

‘Siapa pengganas sebenar ketika ini, Hamas atau AS?’

SEORANG wanita Palestin menyediakan juadah berbuka puasa untuk anak-anaknya di dalam khemah penempatan di tengah Semenanjung Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Cabang kumpulan pe­juang Hamas, iaitu Briged Mujahidin menyifatkan ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai ‘niat untuk terus menghapuskan rakyat Palestin’ di Semenanjung Gaza.

“Ancaman Trump jelas menunjukkan betapa teruk dan hinanya AS untuk menyaksikan lebih ramai rakyat Palestin mati diserang Israel.

“Ancaman itu juga menunjukkan Washington tidak mempunyai komitmen atau langsung tidak bersedia untuk melakukan rundingan damai mengenai konflik yang berlaku.

“Lebih menyedihkan, mereka (AS) pula yang menuduh kami tidak mahu melakukan rundingan. Siapa pengganas sebenar ketika ini, Hamas atau AS?,” soal kumpulan tersebut.

Terdahulu, Trump menerusi platform media sosialnya mengugut Hamas untuk ‘membinasakan’ seluruh Gaza jika masih tidak membebaskan saki-baki tebusan Israel yang ditahan kumpulan pejuang tersebut.

Trump membuat kenyataan itu selepas beliau mengadakan pertemuan dengan lapan bekas tebusan Israel yang dibebaskan Hamas sebelum ini di Rumah Putih.

Katanya, beliau akan membekalkan semua keperluan diperlukan Israel untuk membolehkan negara haram itu menghancurkan Gaza jika tuntutan mereka tidak diendahkan Hamas.

“Bebaskan semua tebusan dan mayat mereka yang anda bunuh serta-merta jika tidak mahu semuanya berakhir.

“Hanya orang gila yang menyimpan mayat dan anda sangat gila!,” tulisnya dalam Truth Social.

Dalam perkembangan lain, agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan mereka hanya mempunyai bekalan makanan kurang dari dua minggu di Gaza.

Hal itu susulan sekatan penuh tentera Israel terhadap bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai usaha mendesak Hamas membebaskan semua tebusan.

Program Makanan Sedunia memaklumkan, stok makanan mereka semakin berkurangan kerana mengutamakan panyaluran kepada populasi di wilayah tersebut.

Penduduk Gaza juga memberitahu, harga makanan meningkat sehingga 200 peratus selepas Israel menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan.

Selepas lebih 16 bulan dilanda konflik, rakyat Gaza bergantung sepenuhnya dengan bantuan kemanusiaan untuk meneruskan kehidupan.

Pada masa sama, penduduk Gaza juga menyambut baik keputusan para pemimpin Arab untuk membangunkan semula wilayah itu tanpa mengusir mereka ke tempat lain.

“Kami bersetuju dengan pelan yang dirangka pemimpin Arab asalkan kami tidak diusir dari tanah kami sendiri. Gaza rumah kami, ke mana lagi kami mahu pergi?,” kata seorang penduduk, Atef Abu Zaher.

Semalam, pemimpin Arab meluluskan pelan pemulihan Gaza bernilai AS$53 bilion (RM235 bilion) sebagai tindak balas terhadap cadangan Trump untuk mengambil alih wilayah itu dan memindahkan lebih dua juta penduduk Palestin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×