Lima cedera, pesawat terhempas di tempat letak kereta

Lima cedera, pesawat terhempas di tempat letak kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARRISBURG: Sebuah pesawat kecil terhempas di tempat letak kereta pusat persaraan di Lancaster County, Pennsylvania, mencederakan lima orang di dalam pesawat dan merosakkan kira-kira 12 kenderaan, menurut pihak berkuasa tempatan.

Ketua Jabatan Bomba Manheim Township, Scott Little dalam sidang media malam tadi berkata, pesawat jenis Beechcraft Bonanza itu terhempas sekitar pukul 3.18 petang (waktu tempatan) di kawasan pusat persaraan Brethren Village.

Lima individu di dalam pesawat dikejarkan ke hospital tempatan untuk mendapatkan rawatan.

Pihak berkuasa memaklumkan kira-kira 12 kereta mengalami kerosakan, dengan lima daripadanya rosak teruk.

Namun, bangunan pusat persaraan itu tidak mengalami sebarang kerosakan struktur dan tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan orang awam di sekitar kawasan itu.

Rakaman video dari lokasi kejadian menunjukkan bangkai pesawat terbakar dengan api marak serta asap hitam tebal memenuhi ruang udara.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengumumkan akan menjalankan siasatan terperinci berhubung nahas itu yang berlaku kurang dua bulan selepas insiden perlanggaran udara tragis pada Januari serta beberapa kejadian lain yang menyusul di seluruh negara.

Pada 31 Januari, sebuah pesawat perubatan terhempas di Philadelphia, mengorbankan kesemua enam penumpang dan seorang individu di darat.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) juga telah membuka siasatan dan akan menilai dokumentasi serta pemeriksaan awal yang dikumpulkan oleh penyiasat FAA di lokasi kejadian.

Menurut komunikasi radio dengan pengawal trafik udara, juruterbang melaporkan pintu pesawat dalam keadaan terbuka sebelum nahas berlaku.

Pengawal udara sempat mengarahkan juruterbang untuk cuba menaikkan pesawat ke atas beberapa saat sebelum pesawat itu terhempas.

Pesawat itu dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Lancaster yang terletak di utara lokasi nahas, dan menuju ke Springfield, Ohio, menurut data dari FlightAware.

Seorang saksi, Brian Pipkin berkata, pesawat itu terhempas sejurus setelah ia berlepas.

“Ia berada pada kedudukan yang agak tinggi, tetapi kemudian ia mula membelok ke kiri dan tiba-tiba ia menjunam ke sisi sambil terus berpusing ke kiri,” katanya kepada CNN.

Pipkin berkata, dia segera bergegas ke tempat letak kereta pusat persaraan itu dan melihat kokpit pesawat sudah terbakar.

“Api marak begitu pantas seperti membuka pintu ketuhar yang dipanaskan pada suhu 500 darjah Celsius dan saya dapat merasakan bahangnya di muka dari jauh.

“Ia terlalu panas. Saya segera mendekati pesawat yang terbakar itu sambil berdoa agar tiada apa-apa yang meletup,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×