WASHINGTON: Dari bilik Oval menuju padang pasir Asia Barat, setiap Presiden Amerika Syarikat (AS) yang silih berganti seakan sudah terikat dengan legasi peperangan di rantau bergolak itu.
Arena politik AS menyaksikan campur tangan dalam ketidakstabilan global terutamanya Asia Barat sering menjadi senjata ampuh untuk mengekalkan petunjuk prestasi utama atau ‘KPI’ setiap presiden yang baharu dilantik.
Sekitar 60 tahun yang lalu, AS pertama kali menghantar tentera tempur ke Asia Barat melalui pendaratan marin pada Julai 1958 di Beirut, Lubnan di bawah pentadbiran Dwight David Eisenhower, sekali gus memulakan era penglibatan Washington yang kini kelihatan tidak berkesudahan di rantau ini.
Richard Nixon yang menyokong Israel dengan bantuan ketenteraan besar-besaran ketika pertempuran dengan Mesir dan Syria sekitar 1970-an menyebabkan krisis minyak global apabila negara Arab bertindak balas dengan embargo minyak walaupun kemudian diakhiri dengan gencatan senjata.
Krisis tebusan Iran turut menghantui pentadbiran Jimmy Carter apabila kegagalan menyelamat 52 diplomat AS yang ditawan di Teheran menjadi tamparan besar, menjejaskan imej beliau dan membuka laluan mudah untuk Ronald Reagan memenangi pilihan raya pada 1980.
George H.W. Bush pula dianggap wira global selepas berjaya mengusir Saddam Hussein dari Kuwait dalam Perang Teluk pada 1991 yang kemudian ‘diwarisi’ anaknya, George W. Bush yang melancarkan serangan di Iraq dengan dakwaan senjata pemusnah besar-besaran yang akhirnya tidak ditemui.
Barack Obama pula melonjak ke puncak Parti Demokrat pada 2008 selepas memenuhi janji kempen untuk menamatkan perang Iraq dan campur tangannya menentang ISIS di Syria serta pemberontakan di Libya selain kejayaan membunuh dalang serangan 11 September 2003, Osama bin Laden.
Sebelum menarik diri daripada perlumbaan pilihan raya 2024, Joe Biden berulang kali menegaskan kejayaannya membawa pulang tentera AS selepas tiga dekad konflik di Asia Barat tanpa mencetus peperangan baharu namun masih dianggap antara pemimpin ‘lemah’ sekali pun menghantar sokongan besar kepada Israel menentang pejuang Hamas.
LANCAR PERANG DI YEMEN
Presiden AS, Donald Trump nampaknya tidak terkecuali meneropong peluangnya untuk meraih sokongan dunia dengan percaturan ketenteraan di Asia Barat.
Ketika mewar-warkan kepada dunia tentang usahanya membawa Israel, Hamas, Ukraine dan Russia ke meja rundingan bagi mencapai gencatan senjata kekal, Trump memilih untuk melancarkan perang di Yemen menentang kumpulan pemberontak Houthi untuk mengekalkan naratif ‘serupa’ dasar luar AS di rantau itu.
Pemberontak Houthi yang disokong Iran di Yemen mendakwa menyerang kumpulan kapal pengangkut pesawat AS di Laut Merah.
Houthi berikrar akan menyasarkan kapal komersial negara itu, sehari selepas serangan udara Washington membunuh pemimpin kanan kumpulan pemberontak itu.
Kementerian kesihatan Houthi berkata, wanita dan kanak-kanak adalah antara yang terbunuh dalam serangan AS pada Sabtu lalu.
“Sebagai tindak balas terhadap pencerobohan ini, angkatan bersenjata telah melancarkan operasi ketenteraan menyasarkan kapal pengangkut pesawat USS Harry Truman dan kapal perang pengiringnya,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu mendakwa melancarkan 18 peluru berpandu dan sebuah dron ke arah kapal-kapal AS.
Menurut jurucakap kementerian kesihatan Houthi, Anis al-Asbahi, serangan AS sejak Sabtu lalu ke ibu kota Sanaa yang dikuasai pemberontak serta bandar Saada, Al-Bayda dan Radaa membunuh 53 orang dan mencederakan 98 yang lain.
“Jumlah korban daripada pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh musuh AS pada 15 Mac meningkat kepada 53 orang yang syahid, termasuk lima kanak-kanak dan dua wanita. Seramai 98 lagi cedera, termasuk sembilan kanak-kanak dan sembilan wanita,” tulis Asbahi di laman X.
Pegawai AS pada Ahad berikrar akan meneruskan sasarannya sehingga Houthi menghentikan serangan ke atas perkapalan di Laut Merah.
Sebelum serangan yang didakwa ke atas kapal pengangkut itu, pemberontak tidak melakukan serangan di Laut Merah dan Teluk Aden sejak 19 Januari, ketika gencatan senjata bermula di Gaza.
Namun, pada Selasa, Houthi berkata, mereka akan menyambung semula serangan ke atas kapal Israel kerana menghentikan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen kelmarin, pemimpin pemberontak, Abdulmalik al-Huthi menambah kapal kargo AS ke dalam senarai sasaran selagi ia meneruskan pencerobohan dan menyeru sejuta rakyat Yemen berarak sebagai tanda protes.
“Jika pencerobohan AS ke atas negara kami berterusan, kami juga akan bergerak ke arah pilihan serangan baharu,” katanya.
SERANGAN TANPA HENTI
Penasihat Keselamatan Negara AS, Michael Waltz memberitahu ABC News, serangan Sabtu lalu menyasarkan beberapa pemimpin Houthi dan berjaya menghapuskan mereka.
“Kami baru sahaja menyerang mereka dengan kekuatan yang membinasakan dan memberi amaran kepada Iran bahawa cukuplah sudah,” katanya.
Ketua Pentagon, Pete Hegseth turut berikrar akan melancarkan kempen peluru berpandu tanpa henti sehingga Houthi menghentikan serangan mereka.










