WASHINGTON: Harga minyak melonjak dan emas mencapai rekod tertinggi baharu berikutan impak ketegangan geopolitik berterusan, terutama berkaitan Gaza serta Yemen, selain sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap minyak Iran.
Saham Wall Street merosot pada Khamis selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) cuba meredakan kebimbangan terhadap tarif yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump, sementara pasaran ekuiti zon euro turut mengalami kejatuhan.
Ketiga-tiga indeks utama Wall Street ditutup lebih rendah, melepaskan sebahagian daripada keuntungan pada Rabu selepas Pengerusi Fed, Jerome Powell, mencadangkan sebarang kenaikan harga pengguna akibat tarif kemungkinan bersifat sementara.
Pasaran utama zon euro di Frankfurt, Milan dan Paris merosot sekitar satu peratus atau lebih selepas Ketua Bank Pusat Eropah, Christine Lagarde memberi amaran perang perdagangan antara AS dan Eropah boleh mengurangkan pertumbuhan sebanyak setengah peratus serta meningkatkan inflasi.
Kebimbangan berterusan terhadap tarif serta perkembangan geopolitik mendorong harga emas kepada rekod baharu melebihi AS$3,057.49 (RM13,521) seaun.
Sementara itu, harga tembaga mencapai paras tertinggi dalam lima bulan, melebihi AS$10,000 (RM44,236) setan, apabila syarikat AS meningkatkan pembelian logam yang menjadi sasaran tarif Trump.
MINYAK TUMPUAN UTAMA
Harga minyak melonjak berikutan peningkatan semula pertempuran di Gaza dan kebimbangan terhadap pemberontak Houthi yang disokong Iran.
Ketua penganalisis pasaran, Chris Beauchamp berkata, prospek kempen berpanjangan AS terhadap Houthi, termasuk serangan baharu Israel di Gaza menjadikan minyak kembali menjadi tumpuan utama.
Dalam tindakan bank pusat lain, Bank of England dan Riksbank Sweden mengekalkan kadar faedah mereka pada Khamis, mengikuti jejak Rizab Persekutuan AS dan Bank of Japan sehari sebelumnya.
Sementara itu, bank pusat Switzerland menurunkan kadar faedahnya kelmarin, dengan alasan ‘ketidakpastian yang tinggi’ dalam ekonomi global.
Bagaimanapun, tumpuan utama pasaran pada Khamis kekal kepada AS, ekonomi terbesar dunia.
“Ketidakpastian besar masih menyelubungi arah tuju ekonomi AS, dengan aktiviti perniagaan dijangka perlahan sehingga kami melihat lebih jelas mengenai hubungan perdagangan serta potensi harga untuk import dan eksport AS,” kata penganalisis Scope Markets, Joshua Mahony.
Tarif tinggi yang dikenakan Trump ke atas import AS serta ancaman mengenakan lebih banyak duti mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan kemelesetan ekonomi.
Namun, Rizab Persekutuan hanya mengurangkan unjuran pertumbuhan AS tahun ini kepada 1.7 peratus daripada anggaran sebelumnya sebanyak 2.1 peratus pada Disember, menunjukkan mereka tidak melihat risiko kemelesetan dalam masa terdekat.
Pembuat dasar menjangkakan inflasi, tidak termasuk harga makanan dan tenaga yang tidak menentu, akan mencapai 2.8 peratus tahun ini, meningkat daripada unjuran 2.5 peratus dalam ramalan terakhir pada Disember.
Bagaimanapun, Powell terus menegaskan bahawa sebarang peningkatan inflasi hanya bersifat ‘sementara’.
SEKATAN BAHARU AS
Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) Jabatan Perbendaharaan AS mengumumkan sekatan ke atas rangkaian yang menyokong eksport minyak Iran, kelmarin.
Dalam satu kenyataan, OFAC berkata, ia melantik kilang penapisan minyak kecil dan bebas untuk membeli serta menapis minyak mentah Iran bernilai ratusan dolar, termasuk dari kapal yang dikaitkan dengan Pertubuhan Pengganas Asing, Ansarallah atau lebih dikenali sebagai Houthi dan Kementerian Pertahanan serta Logistik Angkatan Tentera Iran (MODAFL).
Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent berkata, pembelian penapisan minyak Iran menjadi talian hayat utama kepada Iran, yang didakwa selaku penaja utama keganasan di dunia.
“AS komited untuk memutuskan sumber pendapatan yang membolehkan Teheran terus membiayai keganasan dan membangunkan program nuklear,” kata Bessent dalam kenyataan tersebut.
OFAC juga mengenakan sekatan ke atas 19 entiti dan kapal yang bertanggungjawab mengangkut berjuta-juta tong minyak Iran, sebahagian daripada ‘armada bayangan’ kapal tangki Iran yang membekalkan kilang penapisan seperti Luqing Petrochemical.
Dalam perkembangan berasingan, Jabatan Negara AS turut mengumumkan sekatan terhadap Penyimpanan Terminal Petrokimia Teluk Huaying Huizhou Daya, sebuah terminal minyak di China, kerana membeli dan menyimpan minyak mentah Iran daripada kapal yang dikenakan sekatan.- AFP/ANADOLU










