WASHINGTON: Gunung berapi aktif terbesar di Washington mengalami beberapa siri gegaran gempa bumi, menyebabkan pakar berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Gunung Adams ialah gunung berapi strato setinggi 3,657 meter yang terletak di selatan-tengah Washington, kira-kira 88.5 kilometer (km) di barat daya bandar Yakima.
Gunung berapi itu dianggap sebagai ‘ancaman tinggi’ kerana keupayaannya untuk mencetuskan tanah runtuh, runtuhan serpihan dan aliran lahar yang boleh bergerak sehingga 80 km sejam menuruni cerun, sekali gus membahayakan ribuan penduduk.
Walaupun gunung berapi itu tidak meletus selama kira-kira 1,000 tahun, pakar Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memberi amaran ia berisiko meletus lagi.
Atas sebab itu, saintis menubuhkan stesen pemantauan di sekitar Gunung Adams untuk mengesan aktiviti seismiknya.
Antara September dan Oktober tahun lalu, pemantau mengesan sembilan gempa bumi berukuran antara 0.9 hingga 2.0 skala Richter di sekitar gunung berapi tersebut.
Menurut USGS, Gunung Adams biasanya hanya mengalami satu gempa bumi setiap dua hingga tiga tahun.
Walaupun peningkatan aktiviti seismik boleh menjadi petanda gunung berapi akan meletus, pakar menegaskan siri gegaran itu kelihatan ‘aktiviti latar belakang biasa’ dan bukan bermakna ia akan meletus dalam masa terdekat.
Namun, letusan besar bukan ancaman utama bagi penduduk berhampiran sebaliknya risiko runtuhan serpihan, tanah runtuh dan aliran lumpur membawa batu serta abu yang bergerak laju seperti konkrit cair, sama ada semasa tempoh letusan atau tidak, menurut USGS.
Susulan siri gempa baru-baru ini, saintis memasang tiga stesen pemantauan tambahan di sekitar gunung berapi untuk memantau aktiviti seismik dengan lebih dekat.- AGENSI










