China sedia prasekolah percuma tangani penurunan populasi

China sedia prasekolah percuma tangani penurunan populasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China akan mengambil langkah proaktif menangani masalah penuaan penduduk yang semakin meningkat menerusi pelbagai dasar baharu termasuk memberi subsidi penjagaan kanak-kanak dan menyediakan pendidikan prasekolah secara percuma dalam usaha meningkatkan kadar kelahiran di negara itu.

Langkah tersebut diumumkan dalam dua dokumen rasmi kerajaan yang dikeluarkan sempena Mesyuarat Tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), iaitu badan legislatif China.

Populasi China mencatatkan penurunan untuk tahun ketiga berturut-turut pada 2024, manakala kadar perkahwinan merosot sebanyak satu perlima, iaitu kejatuhan terbesar dalam rekod meskipun kerajaan berusaha menggalakkan pasangan muda berkahwin dan mempunyai anak.

Masalah penuaan kini menjadi kebimbangan utama bagi ekonomi kedua terbesar dunia itu dengan jumlah penduduk berusia 60 tahun ke atas dijangka meningkat sekurang-kurangnya 40 peratus kepada lebih 400 juta menjelang 2035, bersamaan jumlah gabungan populasi Britain dan Amerika Syarikat (AS).

Kerajaan China juga memaklumkan akan meningkatkan manfaat asas bagi penduduk luar bandar dan penduduk bandar yang tidak bekerja, selain membuat kenaikan munasabah terhadap faedah pencen asas bagi pesara, namun butiran lanjut tidak didedahkan.

Perkhidmatan penjagaan warga emas terutama di kawasan luar bandar dan mereka yang mengalami kecacatan fizikal juga akan diperluaskan.

“Pihak berkuasa akan secara berhemat melaksanakan reformasi secara berperingkat untuk menaikkan umur persaraan wajib,” kata laporan kerja rasmi Perdana Menteri, Li Qiang, tanpa memberikan butiran lanjut.

China sebelum ini telah menaikkan umur persaraan lelaki kepada 63 tahun daripada 60 tahun, manakala bagi wanita yang bekerja di sektor profesional dinaikkan kepada 58 tahun daripada 55 tahun.

Bagi wanita di sektor buruh, umur persaraan dinaikkan kepada 55 tahun daripada 50 tahun dan perubahan ini berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu serta bakal dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 15 tahun.

Kerajaan China juga akan menyediakan subsidi penjagaan kanak-kanak dan merancang membangunkan sistem perkhidmatan penjagaan yang lebih komprehensif, termasuk melaksanakan pendidikan prasekolah percuma secara berperingkat.

Ini kerana sebahagian besar kemerosotan demografi di China berpunca daripada dasar satu anak yang dikuatkuasakan antara 1980 hingga 2015 dan sejak tahun 2021, pasangan dibenarkan mempunyai sehingga tiga orang anak. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN