COLUMBIA: Seorang lelaki dari South Carolina yang disabitkan kesalahan membunuh ibu bapa bekas teman wanitanya menggunakan bat besbol dihukum mati oleh skuad tembak, menjadikannya hukuman pertama seumpamanya di AS dalam tempoh 15 tahun.
Menurut jurucakap penjara Chrysti Shain, Brad Sigmon, 67, dihukum mati oleh skuad tembak yang terdiri daripada tiga orang di Penjara Broad River Correctional Institution di ibu negeri Columbia, South Carolina.
Shain berkata, tembakan maut dilepaskan pada pukul 6.05 petang (waktu tempatan) dan Sigmon disahkan meninggal dunia oleh seorang doktor pada pukul 6.08 petang.
Wartawan yang menyaksikan hukuman itu dari belakang kaca peluru melaporkan bahawa Sigmon memakai baju jumpsuit hitam dan diikat pada sebuah kerusi di dalam bilik hukuman mati dengan sasaran kecil berwarna merah yang diperbuat daripada kertas atau kain diletakkan di atas jantungnya.
Dalam kenyataan terakhir yang dibacakan oleh peguamnya, Gerald Bo King, Sigmon berkata, dia ingin menyampaikan mesej cinta dan seruan kepada rakan-rakan Kristian untuk membantu menghentikan hukuman mati.
Penutup kepala kemudian diletakkan di atas kepala Sigmon dan kira-kira dua minit kemudian, tembakan dilepaskan oleh skuad tembak yang terdiri daripada sukarelawan dari Jabatan Koreksional South Carolina melalui celah dinding sejauh kira-kira lima meter.
Anna Dobbins dari stesen TV WYFF News 4 berkata, tembakan dilepaskan serentak seolah-olah hanya satu bunyi.
“Tangannya mengeras, ada sesuatu di bahagian tengah badannya yang bergerak, saya tidak pasti sama ada itu nafas, tetapi ada pergerakan yang berlaku selama dua atau tiga saat.
“Ia berlaku sangat pantas. Saya melihat percikan darah apabila peluru memasuki tubuhnya. Tidak banyak, tetapi ada percikan,” katanya.
Sigmon mengaku membunuh David dan Gladys Larke pada 2001 semasa perbicaraan dan memohon kepada Mahkamah Agung untuk menangguhkan hukuman mati pada saat-saat terakhir, tetapi permohonannya ditolak.
Gabernor South Carolina, Henry McMaster, juga menolak rayuannya untuk pengampunan. -AFP











